Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam rundingan untuk mengurangkan tarif balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksportnya kepada 19 peratus daripada 25 peratus disifatkan sebagai langkah strategik ke hadapan.
Pencapaian ini juga telah meletakkan negara setanding dengan negara-negara utama ASEAN dan pada masa yang sama mengekalkan keutamaan dasar domestik yang penting.
Walaupun kadar tarif baharu ini tidak menghapuskan halangan perdagangan, ia dilihat sebagai penambahbaikan yang bermakna berbanding cadangan asal sebanyak 25 peratus.
Perkembangan ini sekali gus menyerlahkan kemampuan Malaysia untuk mempertahankan hala tuju ekonomi berdaulatnya walaupun menghadapi tekanan di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, ahli ekonomi menegaskan bahawa kelegaan ini bersifat sementara dan mempunyai risiko.
Memandangkan AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia, yang menyumbang RM198.65 bilion pada 2024, tekanan ekonomi terutamanya kepada pengeluar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka meningkat sekiranya pembaharuan yang lebih menyeluruh tidak diteruskan.
Ketua Ahli Ekonomi Centre for Market Education Alvin Desfiandi berkata tarif berkenaan mungkin mengurangkan pertumbuhan terutamanya melalui penyusutan eksport.
“Bagaimanapun, permintaan domestik yang berdaya tahan seperti perbelanjaan pengguna, projek infrastruktur dan penurunan kadar faedah lebih awal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan penampan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Menurutnya langkah awal oleh BNM untuk menurunkan kadar faedah iaitu kali pertama dalam tempoh lima tahun telah menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, namun berisiko menyebabkan penyusutan nilai mata wang sekiranya kadar faedah AS kekal tinggi.
Beliau yang juga ahli fakulti di Universitas Prasetiya Mulya Indonesia berkata pelonggaran tambahan mungkin diperlukan sekiranya pertumbuhan menurun di bawah 4.0 peratus, namun sebarang lonjakan inflasi melebihi 3.0 peratus berupaya mengehadkan ruang fleksibiliti itu.
"Oleh itu, BNM perlu mengekalkan fleksibiliti bagi penurunan kadar yang selanjutnya sekiranya pertumbuhan adalah suram, tetapi mengekalkan inflasi pada 2.0-3.0 peratus," katanya.
Dalam pada itu, Alvin yakin bahawa Malaysia kini memasuki fasa penyesuaian semula dalam kedudukan yang masih kukuh.
“Ekonomi Malaysia sedang berdepan dengan tarif dalam kedudukan yang kukuh, dengan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) BNM bagi 2025 telah mengambil kira aspek gangguan yang sederhana.
“Tumpuan kini beralih kepada menaik taraf industri dan kepelbagaian pasaran untuk memastikan pertumbuhan dapat dikekalkan selepas 2025," katanya.
Bagaimanapun Alvin berpandangan bahawa kesan jangka pendek sukar untuk dielakkan kerana tarif 19 peratus ini akan memberi impak langsung kepada daya saing Malaysia di pasaran AS, terutama dalam sektor utama seperti elektronik dan semikonduktor.
“Tarif 19 peratus ini akan meningkatkan kos bagi pembeli di AS, yang berkemungkinan mengurangkan jumlah eksport. Ini boleh mewujudkan kesan domino yang memberi impak negatif kepada sentimen pelaburan dan pergerakan mata wang,” katanya.
Alvin berkata sektor elektronik dan semikonduktor adalah sektor paling terdedah kepada kesan tarif, yang memberikan tekanan kepada margin keuntungan yang sememangnya kecil dalam kalangan pengeluar tempatan.
Menurutnya kebergantungan Malaysia kepada komponen China merumitkan lagi kedudukannya di bawah peraturan asal Washington yang lebih tegas.
“Tarif ini akan memberi tekanan kuat kepada sektor elektronik dan semikonduktor, yang mengurangkan keuntungan pengeluar,” katanya.
Risiko tarif bertindih, dengan barangan yang mengandungi komponen dari China dikenakan penalti di bawah beberapa bidang kuasa, meningkatkan tekanan kos ke atas pengeksport, yang boleh mengurangkan daya saing Malaysia walaupun tidak terbabit secara langsung dalam proses pemunggahan.
“Memandangkan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia menyasarkan untuk mengimbangkan kerugian dengan beralih kepada cip bernilai tinggi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) AS, kerajaan mungkin menyediakan geran kecemasan kepada PKS untuk meneroka pasaran baharu,” menurut ahli ekonomi itu.
Selain langkah jangka pendek, Alvin berkata Malaysia juga digesa menjadikan tekanan tarif sebagai peluang, dan pada masa yang sama menekankan kepentingan mengamalkan strategi “teknologi untuk akses ke pasaran,” dengan bersikap lebih telus dalam rantaian bekalan untuk menikmati tarif AS yang stabil ke atas input semikonduktor.
Menurutnya keperluan untuk membina pakatan industri hijau dengan AS dalam sektor bateri kenderaan elektrik dan tenaga boleh baharu adalah sama penting, dengan Malaysia berperanan sebagai laluan strategik ASEAN.
Selain itu, beliau berkata Malaysia juga perlu menyasarkan untuk meneraju penghasilan peraturan digital dengan membangunkan bersama piawaian ASEAN dalam teknologi kewangan dan perdagangan digital dengan AS.
Alvin berkata pendekatan ini berpotensi mengubah tarif menjadi pemangkin kepada kepelbagaian FDI bernilai tinggi, dengan Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini menyediakan platform penting untuk memastikan perjanjian sektor dapat dimuktamadkan.
Alvin turut menekankan bahawa pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group bernilai US$19 bilion (US$1 = RM4.27) dilihat sebagai langkah simbolik yang berguna, tetapi dengan keberkesanan yang terhad dalam usaha mengimbangkan semula hubungan perdagangan dengan Washington.
Ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams pula menyambut baik langkah pengurangan tarif dan pada masa sama menegaskan bahawa ia masih memberi risiko ketara kepada ekonomi yang bergantung kepada perdagangan Malaysia.
"Potensi penurunan sebanyak 10 peratus bagi eksport ke AS boleh mengakibatkan kerugian RM20 bilion pada setiap tahun. Keadaan ini menekankan kepentingan untuk segera melaksanakan pembaharuan struktur dan kepelbagaian eksport," katanya.
Williams berkata Malaysia perlu mengelakkan kebergantungan yang tinggi kepada langkah jangka pendek atau dasar sokongan menyeluruh.
Selain itu, beliau berkata perniagaan perlu melipatgandakan usaha dalam automasi, daya tahan rantaian bekalan dan daya saing jangka panjang.
Menurutnya hasil terkini yang diterima itu meningkatkan lagi keperluan untuk Malaysia melaksanakan sepenuhnya rangka tindakan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ini sebagai peringatan bahawa daya saing di peringkat domestik perlu diraih,” katanya sambil memaklumkan rundingan selanjutnya dengan Washington adalah perlu untuk mendapatkan terma tarif yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Alvin bersetuju bahawa strategi dua hala Malaysia, iaitu mengimbangkan kesalingbergantungan yang kritikal dengan AS di samping mengadakan libat urus dengan rakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan BRICS, akan menentukan trajektori jangka panjangnya.
Beliau berkata tarif sebanyak 19 peratus akan mengukuhkan perpaduan ASEAN dalam jangka pendek, dengan sidang kemuncak Malaysia pada Oktober ini akan menguji sama ada diplomasi ekonomi berupaya mendorong AS untuk berkompromi misalnya dari segi pengecualian semikonduktor.
“Bagaimanapun, trend jangka panjang adalah jelas... ASEAN akan mengurangkan kebergantungan kepada AS melalui pengintegrasian RCEP dan kerjasama dengan negara bukan Barat.
“Sekiranya Trump tidak menawarkan kelonggaran pada Oktober, kerjasama ASEAN+BRICS dijangka dipercepatkan...pengakuan secara tidak langsung bahawa tidak berbaloi untuk mengorbankan kedaulatan negara demi ke pasaran AS ,” katanya.
Alvin menegaskan bahawa, pada dasarnya, peralihan kepada kadar tarif 19 peratus menunjukkan berakhirnya model FDI berkos rendah di Malaysia, namun membuka peluang baharu kepada pelaburan bernilai tinggi sekiranya pembaharuan dilaksanakan.
"Kesamaan kadar tarif ini menamatkan model FDI berkos rendah di Malaysia tetapi mempercepat peralihannya kepada bidang bernilai tinggi," katanya.
Dengan pelaburan yang diluluskan mencecah RM378.5 bilion pada 2024, kedua-dua ahli ekonomi ini senada bahawa Malaysia telah memaparkan daya tahan dan dasar yang jelas.
Cabarannya pada masa ini adalah untuk memperkukuh keyakinan pelabur dalam jangka panjang melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), penempatan semula rantaian bekalan dan diplomasi yang merangkumi keseluruhan blok.
Malaysia telah berunding dengan Washington sejak April untuk mengurangkan kadar tarif yang terdahulu sebanyak 24 peratus.
Rundingan tarif Malaysia-AS secara rasminya bermula pada 6 Mei dan berakhir pada 31 Julai 2025, yang menghasilkan kadar tarif yang diselaraskan kepada 19 peratus sekali gus meletakkan Malaysia pada masa ini sejajar dengan negara utama ASEAN seperti Thailand dan Indonesia.
-- BERNAMA