SEKINCHAN, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor mencadangkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengadakan sesi taklimat khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga dan pemimpin komuniti berhubung pelarasan tarif air terkini bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran pengguna.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata usaha ke arah kesedaran air secara cekap itu amat penting supaya mesej penggunaan air secara bijak dapat disampaikan lebih meluas, termasuk di sekolah serta kerjasama dengan Jabatan Penerangan.
“Sekarang ini kita masih pada peringkat cadangan tetapi saya akan minta Air Selangor supaya laksanakan sesi itu secara berkala, mungkin setahun akan ada beberapa kali untuk kepentingan dan kefahaman pada masa depan.
"Selain itu, elemen penjagaan air juga perlu dimasukkan ke dalam kempen alam sekitar kerana isu pembaziran air turut memberi kesan langsung kepada kelestarian sumber semula jadi," katanya selepas menerima kunjungan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang di sini hari ini.
Ng berkata penduduk Selangor perlu tahu tindakan pelarasan air itu tidak berlaku di negeri ini sahaja, malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan perkara sama di seluruh negara.
Semalam, kerajaan Selangor memutuskan bahawa caj air bagi pengguna domestik yang menggunakan hingga 20 meter padu sebulan kekal pada kadar sedia ada, iaitu 65 sen bagi setiap meter padu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar itu telah diselaraskan pada Februari 2024 sekali gus caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik.
Beliau berkata pelarasan tarif air dibuat berdasarkan kadar caj yang ditetapkan oleh SPAN, selepas Jemaah Menteri meluluskan pelarasan tarif air baharu bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan permohonan yang dikemukakan oleh negeri-negeri atas keperluan untuk mengukuhkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.
Dalam perkembangan lain, Ng menyarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminda akta sedia ada bagi menangani taktik licik warga asing berniaga menggunakan nama rakyat tempatan.
Beliau berkata pindaan itu amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan tempatan supaya tidak terjejas dan rakyat kekal diberi keutamaan dalam sektor ekonomi.
"Mereka kahwin dengan warga tempatan, guna nama isteri atau rakan rakyat negara ini untuk daftar lesen. Apabila pihak berkuasa periksa dokumen, semuanya nampak sah sedangkan premis dikendalikan warga asing.
"KPKT diharap dapat meminda akta berkaitan supaya PBT mempunyai kuasa lebih luas bagi mengambil tindakan terhadap pemilik yang bersembunyi di sebalik nama warga tempatan," katanya sambil menambah kerajaan Selangor bertegas dan berpegang teguh untuk tidak membenarkan mana-mana warga asing terlibat dalam sebarang bentuk perniagaan.
Pada 28 Julai lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen termasuk lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit dan kedai makan di negara ini.
Tindakan berkenaan selaras dengan dasar dan peraturan sedia ada, iaitu Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja serta UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
-- BERNAMA