KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pengakap bercadang memperluas pengakap berasaskan komuniti di seluruh negara, kata Ketua Pengakap Negara Mej Jen (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin.
Beliau berkata cadangan itu termasuk ke kawasan ladang-ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan rumah pangsa bagi memupuk kepimpinan, disiplin dan sahsiah diri golongan muda di kawasan berkenaan.
Pendekatan itu dilihat sebagai model efektif bagi memperluas gerakan pengakap terutama kepada belia yang tidak berpeluang menyertai unit beruniform berkenaan di sekolah.
“Jadi kita perlukan pemimpin yang berwibawa untuk melatih budak-budak. Saya berharap kita bersama-sama melaksanakan tugas menubuhkan pengakap berasaskan komuniti,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPM WPKL) di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie di sini hari ini.
Mohd Zin juga menyeru PPM WPKL supaya menjadi contoh cemerlang dalam pelaksanaan program berkenaan serta menyasarkan peningkatan keahlian.
“Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlu menjadi contoh terbaik di rantau ini. Kita ada semua kemudahan, kepelbagaian dan semangat yang cukup untuk menjayakannya,” katanya.
-- BERNAMA