SUKAN

PETUGAS MAKMAL DARI SARAWAK TAKLUK DUA LEBUH RAYA UTAMA DI LEMBAH KLANG

03/08/2025 12:05 PM

PETALING JAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Setelah enam percubaan, akhirnya petugas makmal dari Sarawak Thenuel Teli menemukan pengakhiran sempurna apabila menjadi yang pertama tiba di garisan penamat larian Duo Highway Challenge 2025 di sini hari ini.

Thenuel, 26, menakluki dua lebuh raya utama Lembah Klang iaitu Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sejauh 42 kilometer selepas menamatkan acara maraton dengan catatan 2 jam 47 minit dan 49 saat (s).

“Enam kali berlumba dan ini pencapaian terbaik selepas pernah naib juara dan ketiga. Ini kali kedua saya sertai maraton penuh dan boleh dikatakan ia dapat menebus kehampaan pulang tangan kosong pada acara Score marathon 2025 di Putrajaya bulan lepas.

“Saya juga gembira catatan masa hari ini dapat pecah rekod peribadi terbaik iaitu 2:47.58s dilakukan di sebuah acara larian antarabangsa di Thailand hujung tahun lepas,” katanya kepada Bernama selepas perlumbaan.

Thenuel mengatasi dua lagi peserta iaitu Robin Tan di tempat kedua menerusi catatan 2:52.10s manakala Mohamad Rozi Kasim pula melengkapkan podium dengan 2:53.16s.

Thenuel yang mengagumi jaguh dunia dari Kenya Eliud Kipchoge berkata kejayaan kali ini menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menampilkan prestasi lebih baik pada acara maraton terbesar Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2025 yang dijadual pada 4 dan 5 Okt ini.

Bagi saingan wanita terbuka pula, Ang Kee May dinobatkan juara dengan catatan 3:39.55s diikuti Lee Yee San (3:45.35s) di tempat kedua dan Lam Hui Theng pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (3:46.41s).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad Datuk Lee Chun Fai gembira acara dianjurkan pihaknya bersama syarikat insurans Allianz Malaysia, mencatatkan peningkatan 20 peratus penyertaan daripada 10,900 ke 13,000 peserta pada edisi kali ini.

Selain peserta dalam negara, perlumbaan tahun ini turut menarik penyertaan dari lebih 30 negara antaranya Itali, Rusia, Kanada, Jepun dan China.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan