JENAYAH & MAHKAMAH

LIMA WARGA TIMUR TENGAH DITAHAN KES CURI WANG TUNAI PELANCONG ASING

03/08/2025 07:28 PM

GEORGE TOWN, 3 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lima warga asing dari Timur Tengah bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing yang dipercayai dipukau di sekitar pusat bandar semalam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri berusia 19 hingga 35 tahun itu ditahan di Plaza Gurney dalam operasi Op Tourist.

"Pada 30 Julai sehingga 1 Ogos, pihak kami menerima tiga laporan polis kejadian curi wang tunai melibatkan pelancong yang berlaku di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang membabitkan mangsa warga Taiwan, Belanda dan Syria yang kesemuanya berusia 29 hingga 52 tahun.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis terdiri daripada Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Balai Polis Pulau Tikus dan Balai Polis Central telah menjalankan operasi sebelum menahan lima warga Timur Tengah tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis merampas pelbagai mata wang asing, dua kenderaan dan sepeket dadah jenis ganja sekali gus berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang semakin aktif itu.

Mohd Alwi berkata hasil saringan awal air kencing ke atas lima individu itu juga mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Katanya modus operasi kumpulan itu adalah menyasarkan pelancong dari luar negara dengan cara mengajak mangsa untuk berbual dan semasa perbualan berlangsung, mangsa diminta untuk menunjukkan wang tunai yang berada dalam simpanan mereka.

"Tanpa disedari wang tunai mangsa telah diambil oleh suspek yang kemudian terus beredar dari lokasi kejadian, dilaporkan mangsa hanya akan menyedari tentang kehilangan wang tunai setelah suspek beredar dari tempat kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka direman empat hari hingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 akta sama selain Seksyen 6 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya polis Kontinjen Pulau Pinang komited dalam memastikan keselamatan rakyat dan pelancong di negeri itu terjamin serta menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan individu yang tidak dikenali serta menjaga harta persendirian.

"Sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian itu boleh disalurkan melalui hotline Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang di talian 04-2221624 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan