AM

KAPAL LAYAR KARAM: APMM TERUSKAN OPERASI KESAN SEORANG LAGI WARGA TURKIYE

03/08/2025 05:16 PM

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat lelaki warga Turkiye, Eser Demirkol yang dilaporkan hilang selepas kapal layar dinaikinya karam berhampiran perairan Pulau Yu, Kuala Terengganu, Selasa lepas.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pihaknya juga telah menggerakkan dua pasukan penyelam pagi tadi ke kawasan terakhir lokasi kapal layar itu dilaporkan tenggelam. 

“Pencarian melibatkan penggunaan aset laut seperti kapal dan bot, serta sokongan aset udara termasuk helikopter. Kita turut menerima bantuan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita pada Program Hari Bersama Media 2025 APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Beliau berkata pencarian dijalankan berdasarkan maklumat terakhir yang diperoleh daripada dua mangsa terselamat dalam kejadian itu dengan melibatkan kawasan seluas kira-kira 305 batu nautika persegi. 

“Seorang daripada mangsa terselamat memaklumkan mereka sempat terjun ke laut semasa kapal layar itu karam manakala seorang lagi dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri kerana sedang tidur,” katanya.

“Kami cuba lihat kawasan itu sekiranya kita dapat jumpa bangkai kapal layar yang karam itu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, tiga lelaki warga Turkiye iaitu kapten kapal, Ahmet Volkan Ata, 52, Ates Demiroren, 42, dan Demirkol, 52, merancang melakukan pelayaran mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka pada Isnin lepas.

Namun pada petang Selasa, kapal layar dinaiki dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.

Demiroren diselamatkan nelayan tempatan ketika terapung di laut manakala Ata ditemukan selamat selepas hampir 43 jam terapung sebelum diselamatkan bot nelayan.

Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, manakala Demirkol masih belum ditemukan. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan