JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,489 saman bernilai RM445,800 menerusi Ops Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura yang bermula 1 Julai hingga Sabtu lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dalam tempoh itu juga 14,379 kenderaan Singapura telah diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan sekitar bandar raya Johor Bahru.
"Setakat ini, 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman ini dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP. Antara alasan diberikan oleh mereka yang dikompaun adalah menyangkakan kerajaan Malaysia masih belum lagi melakukan penguatkuasaan dan masih dalam tindakan advokasi
"Dalam semua saman yang kita keluarkan, terdapat seorang sahaja yang tidak memberi kerjasama pada awalnya namun apabila kita ingin menyita kenderaan tersebut akhirnya dia akur dan terus menjelaskan saman dan mendaftar VEP," katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar di BSI, Bukit Chagar malam tadi.
Muhammad Kifli dalam pada itu berkata dapatan mendapati hampir 90 peratus kenderaan Singapura (persendirian) telah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP berdasarkan pemeriksaan kenderaan yang dilaksanakan.
Beliau berkata hingga 31 Julai lepas, sebanyak 277,930 tag RFID telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura, melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat.
"Kita ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.
Penguatkuasaan permit VEP menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.
Ia selaras Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia.
-- BERNAMA