KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 26 anggota dan pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibuang kerja tahun lepas kerana terlibat dengan sindiket counter-setting, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi 2023, sebanyak lapan individu turut dikenakan tindakan sama.
Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangani 50 kes phantom travellers atau ‘pengembara hantu’, dengan dua kes kini dalam proses pertuduhan di mahkamah manakala bakinya sedang melalui pelbagai peringkat termasuk proses pertuduhan, siasatan dalaman dan penyediaan kertas siasatan tatakelola.
“Semua yang dimaklumkan ini adalah tindakan yang telah diambil dan bukannya cakap kosong, tidak mengira siapa pun (yang terlibat dengan rasuah), sikap kita sekarang adalah toleransi sifar terhadap perbuatan jijik ini (rasuah).
“Justeru, perihal usaha dan komitmen kerajaan terhadap membanteras rasuah, tidak perlu dipertikaikan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung status tindakan terhadap kes counter-setting di KLIA pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berhubung tindakan kementerian untuk membanteras isu itu, Saifuddin Nasution berkata tindakan intervensi lain yang dilaksanakan ialah pendigitalan perkhidmatan khususnya proses kemasukan pengembara di setiap pintu masuk negara.
Beliau berkata kementerian sedang memperluas sistem pagar automatik bagi mengurangkan interaksi manusia dengan saringan keluar-masuk pengembara dilaksanakan sepenuhnya secara digital tanpa ada kuasa budi bicara pegawai.
Kementerian, katanya merancang memasang 635 pagar automatik di 123 pintu masuk di bawah Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Bermula Disember ini, pagar automatik akan dipasang di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, Johor; KLIA 1 dan 2; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Pada Mac 2028 kita akan laksanakan roll-out sepenuhnya. Sistem pagar automatik menggunakan kaedah merekod secara pengecaman muka biometrik, imbasan iris dan cap jari yang akan dapat mengatasi isu manipulasi kemasukan pengembara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kementerian juga sedang melaksanakan proses bukti konsep (POC) bagi pemakaian kamera badan petugas penguat kuasa di pintu masuk khususnya di KLIA dengan proses perolehan 614 unit peralatan itu dibuat pada bulan depan.
“Selain itu, pada hujung tahun ini, kita akan laksanakan Advance Passenger Screening System (Sistem Saringan Awal Penumpang). Ia ada dua komponen iaitu pertama, Maklumat Awal Penumpang (API) membabitkan 10 syarikat penerbangan daripada 56 yang beroperasi. Dengan sistem ini, maklumat ketibaan pengembara ke negara kita akan dapat diketahui lebih awal sebelum mereka menjejakkan kaki.
“Kedua, kita anjurkan program kesedaran, latihan pengukuhan aktiviti berdasarkan kepada Pelan Antirasuah Imigresen serta kerjasama strategik dengan SPRM, polis dan agensi lain. Setakat ini, kita telah laksanakan sebanyak 185 kursus kesedaran seperti ini,” katanya.
-- BERNAMA