KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) menyokong penuh kelulusan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman khidmat masyarakat hingga 12 jam terhadap pesalah membuang sampah.
Presiden MPMA CC Cheah berkata pindaan itu merupakan langkah berani dan progresif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengubah pendekatan penguatkuasaan daripada hukuman kepada pendidikan awam dan pemulihan komuniti.
“Dengan melibatkan pesalah dalam aktiviti pembersihan, undang-undang ini mengubah tingkah laku tidak bertanggungjawab menjadi pengalaman pembelajaran. MPMA memuji YB Nga Kor Ming dan KPKT atas undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rang Undang-Undang yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 22 Julai lepas itu turut memperuntukkan denda RM2,000 hingga RM10,000 jika disabit kesalahan.
Berdasarkan pindaan, pesalah akan membantu pekerja pihak berkuasa tempatan dalam tugasan seperti menyapu jalan, membersihkan longkang dan tandas awam sambil memakai jaket khas, sebagai peringatan kepada orang ramai tentang akibat perbuatan membuang sampah dan menggalakkan rasa tanggungjawab.
Cheah berkata undang-undang berkenaan memastikan tugasan khidmat masyarakat diberikan secara adil dan mengambil kira keadaan fizikal serta mental pesalah.
Beliau berkata inisiatif alam sekitar MPMA itu sudah selari dengan semangat undang-undang baharu kerana sejak 2015, persatuan itu telah mengetuai kempen "Don't Be a Litterbug” yang bertujuan memerangi tabiat membuang sampah merata-rata melalui pendekatan libat urus awam dan perubahan sikap.
Usaha ini merangkumi pusat pemeriksaan di acara awam untuk menggalakkan penggunaan tong sampah dan pengasingan sisa, program pendidikan dan libat urus komuniti bagi membina tabiat anti-sampah serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan kumpulan belia untuk memupuk budaya kebersihan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata kempen berkenaan dijalankan setiap tahun menerusi cawangan di Johor, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak, sambil menambah bahawa sebagai sokongan kepada agenda nasional, MPMA akan bekerjasama dengan KPKT sempena Hari Cuci Malaysia 2025 yang akan diadakan pada 27 Sept di Port Dickson.
“Usaha kita bukan hanya digerakkan oleh industri tetapi juga rakyat. Kita percaya perubahan sebenar berlaku apabila komuniti dan industri berganding bahu. MPMA berbangga menyokong wawasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke arah masa depan yang lebih bersih dan sihat,” katanya.
MPMA juga akan terus bekerjasama dengan penggubal dasar, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat untuk meluaskan aktiviti anti-sampah berasaskan komuniti di seluruh negara, mempromosikan penggunaan plastik secara bertanggungjawab sambil mengurangkan pencemaran alam sekitar, di samping mempergiat usaha pendidikan awam melalui program dan kempen libat urus.
-- BERNAMA