AM

5.03 JUTA HEKTAR KAWASAN TANAMAN SAWIT DI MALAYSIA DISAHKAN DI BAWAH PENSIJILAN MSPO

04/08/2025 02:09 PM

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 5.03 juta hektar atau 89.6 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia telah disahkan di bawah pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) setakat 30 Jun.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Fong Hin berkata pencapaian itu sekali gus menunjukkan komitmen berterusan industri sawit negara dalam memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Inisiatif pensijilan MSPO ini juga menggariskan piawaian yang ketat, dalam memastikan syarikat perladangan sawit dan pekebun kecil tidak terbabit dalam amalan buruh paksa. 

“Bagi maksud ini, MSPO memerlukan pihak yang disijilkan itu mematuhi Akta Kerja 1955 yang memperuntukkan pekerja tidak boleh dipaksa melakukan kerja tanpa kerelaan oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Know Your Rights, Do It Right Siri 1/2025 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chan berkata program berkenaan dilaksanakan KPK bagi membolehkan pihak industri di sektor agrikomoditi mendapat maklumat jelas dan tepat berhubung isu perburuhan sektor perladangan yang melibatkan tenaga kerja asing.

Beliau berkata ketika ini, lebih 75 peratus daripada kira-kira 280,000 pekerja ladang sawit melibatkan tenaga kerja asing dengan Indonesia merupakan penyumbang utama diikuti Bangladesh, India dan Nepal.

“Kerajaan menyedari kebergantungan tinggi yang berterusan terhadap pekerja asing boleh mewujudkan pelbagai isu dan risiko, termasuklah peluang eksploitasi dan buruh paksa disebabkan sistem pengambilan pekerja yang tidak telus dan sekatan perdagangan negara luar seperti Amerika Syarikat sekiranya wujud bukti amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan.

“Justeru, kementerian ini mengambil inisiatif mengadakan program seperti hari ini dengan hasrat agar isu dan cabaran berkaitan penggajian pekerja asing tidak lagi menjadi penghalang kepada kemajuan sektor perladangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan