EKONOMI

HIBISCUS PETROLEUM SASAR PENGELUARAN 70,000 BOE/HARI MENJELANG 2030

04/08/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Hibiscus Petroleum Bhd menyasarkan pengeluaran sebanyak 70,000 tong setara minyak sehari (boe/hari) dan rizab 2P sebanyak 150 juta tong setara minyak (MMboe) menjelang 2030.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini syarikat itu berkata Misi 2030 itu menandakan fasa baharu dalam evolusinya yang bernama ‘Hibiscus 3.0’ termasuk perancangan untuk mempelbagaikan pelaburan ke dalam projek peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menjadi syarikat tenaga yang berwibawa dan mampan.

Pengarah Urusan Datuk Dr Kenneth Pereira berkata Hibiscus Petroleum kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya di bawah misi baharu itu.

“Lembaga pengarah dan pasukan pengurusan pengasas, yang secara kolektif memegang 13.07 peratus saham Hibiscus sepenuhnya sehaluan dengan objektif pemegang saham untuk meningkatkan nilai kumpulan,” katanya.

Kumpulan itu sebelum ini telah melepasi sasaran pengeluaran Misi 2021 sebanyak 20,000 boe/hari.

Setakat 1 Jan, 2025, Hibiscus memiliki rizab bersih 2P sebanyak 84.9 MMboe dan sumber 2C bersih sebanyak 132.9 MMboe dengan pengeluaran bersih semasa kira-kira 27,000 boe/hari.

Syarikat itu berkata selain operasi teras yang menjana tunai ia merancang untuk melabur dalam projek peralihan tenaga melibatkan penjanaan tenaga elektrik.

Projek-projek ini bertujuan membantu menangani potensi kekurangan penjanaan tenaga sebanyak 5GW di Malaysia menjelang 2030 serta menyokong Rancangan Malaysia ke-13 bagi masa depan yang lebih mampan.

Hibiscus Petroleum berkata ia akan meneruskan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan nilai dalam bidang peralihan tenaga.

Antara pencapaian utama yang menjadi asas kepada pelaksanaan Misi 2030 ialah penyempurnaan pengambilalihan aset gas Blok B Maharajalela Jamalulalam di Brunei daripada TotalEnergies pada Oktober 2024, yang mendorong potensi kepada pelaburan lanjut di negara itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan