EKONOMI

PEROLEHAN PESAWAT BOEING JADI SEBAHAGIAN PELAN PEMBAHARUAN, PELUASAN KAPASITI MAG

04/08/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti armada yang bersifat jangka masa panjang serta berfasa, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pembelian pesawat Boeing oleh MAG bukanlah satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba atau kerana tekanan tarif, tetapi berlandaskan keperluan menggantikan pesawat B737-800 yang secara purata telah beroperasi selama 14 tahun, demi menjamin keselamatan dan kemampanan operasi syarikat.

“Pada 2016, MAG telah membuat tempahan awal bagi 25 pesawat Boeing 737-8 MAX. Sejak November 2023, sebanyak 13 pesawat telah diterima, dan selebihnya akan dihantar secara berperingkat sehingga 2027.

“Pada 20 Mac, 2025, MAG memuktamadkan tempahan tambahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 MAX, dengan tempoh penghantaran dijangka bermula 2025 hingga 2035,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan Amerika Syarikat.

Tengku Zafrul juga berkata terdapat 30 pesawat lagi di bawah kategori perancangan yang akan diputuskan berdasarkan strategi dan pelan pertumbuhan MAG pada masa depan.

“Nilai perolehan ini bukan sekadar harga pesawat malah juga merangkumi kos enjin, latihan, penyelenggaraan serta sokongan jangka masa panjang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata industri aeroangkasa Malaysia turut mendapat manfaat daripada keputusan itu, dengan jenama Boeing telah lama menjadi rakan utama dalam industri itu, termasuk melalui syarikat Boeing Composites Malaysia (BCM) di Kedah, yang menyokong rantaian bekalan global Boeing dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Syarikat Malaysia seperti CTRM, UPECA, SME Aerospace, Plexus dan lain-lain adalah pembekal komponen penting kepada Boeing dan Airbus. Industri aeroangkasa Malaysia menyumbang RM25.1 bilion pada 2024 dan menyokong 30,000 pekerjaan di seluruh negara

“Pada masa sama, sektor pelancongan negara menunjukkan pemulihan kukuh melebihi paras prapandemik. Boeing sendiri menjangkakan pertumbuhan trafik penumpang global sebanyak 4.7 peratus setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata oleh yang demikian, pelaburan itu membolehkan Malaysia memanfaatkan potensi pertumbuhan industri pelancongan dan aeroangkasa.

Tengku Zafrul berkata berdasarkan Seksyen 6 -- Pertimbangan Komersial mengikut Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak kelak itu, AS menggalakkan Malaysia untuk membuat perolehan dari dan pelaburan di AS.

Beliau berkata antara komitmen yang dibuat antara Malaysia dan AS adalah melibatkan perolehan kapal terbang Boeing oleh MAG bernilai US$19 bilion serta perolehan barangan oleh syarikat multinasional (MNC) untuk sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bernilai US$150 bilion bagi tempoh lima tahun.

Komitmen lain melibatkan perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas bernilai US$3.39 bilion setahun; perolehan produk telekomunikasi oleh Telekom Malaysia bernilai US$119 juta; perolehan arang batu oleh Tenaga Nasional Bhd bernilai US$42.6 juta setahun; dan pelaburan rentas sempadan di AS bernilai US$70 billion bagi tempoh 10 tahun, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan