KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Penggunaan kemudahan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) masih terkawal, namun langkah pengawalseliaan sedang dipertingkatkan menerusi Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025 untuk melindungi pengguna.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata statistik terkini menunjukkan sebanyak 102.6 juta transaksi BNPL bernilai RM9.3 bilion direkodkan pada separuh pertama 2025, meningkat 3.1 peratus daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024.
Beliau berkata jumlah pinjaman BNPL setakat 30 Jun lepas adalah RM3.8 bilion iaitu 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.
“Jumlah BNPL buat masa sekarang yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
"BNPL ini masih terkawal, dan dengan akta ini (AKP 2025) kita akan tingkatkan lagi pengawalan terhadap sektor ini.
"Jadi pada saya, buat masa ini, kita ada cukup pengawasan terhadap sistem BNPL,” katanya ketika sesi pertanyaan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan bersedia mengklasifikasikan sebahagian skim BNPL sebagai risiko kredit bagi sosial dan mengehadkan penggunaan ke atas produk tertentu seperti makanan asas atau keperluan isi rumah demi mengelakkan kesan hutang berganda.
Amir Hamzah berkata Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang baru ditubuhkan akan mengawal selia perkembangan semasa sektor industri kredit termasuk BNPL dan kini sedang mengkaji had kadar faedah yang dikenakan penyedia kemudahan itu kepada pengguna kredit serta mengambil kira mekanisme patuh syariah.
"Dalam hal ini, SKP akan mengambil pendekatan pengawalseliaan melalui standard pelakuan yang akan dirangka secara seimbang dan bersekadar," katanya.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai sama ada SKP bercadang mengenakan had kadar faedah selain berkenaan langkah kementerian untuk memastikan penyedia BNPL patuh syariah.
Amir Hamzah berkata buat masa ini, terdapat beberapa amalan penyedia BNPL berkaitan caj kadar faedah dan kebanyakannya mengenakan caj 1.5 peratus sebulan atau kira-kira 18 peratus setahun.
"Secara amnya kadar faedah dikenakan pemain indutri BNPL adalah 15 hingga 30 peratus setahun. Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang tidak mengenakan sebarang caj kadar kaedah.
"SKP akan mendapatkan maklumat menyeluruh dan menganalisis cara paling baik untuk mengawal selia perkara ini," katanya.
Mengikut AKP 2025 kelak, syarikat yang menawarkan skim BNPL dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna kredit.
“Berkenaan (perkara) ini, penilaian kemampuan berhutang merupakan keperluan penting yang perlu dipatuhi oleh syarikat BNPL sebelum menawarkan kredit.
“Perkara ini perlu agar peminjam termasuk generasi muda mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami sebarang tekanan kewangan yang serius dan akhirnya terjerumus dalam perangkap hutang,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan bagi mengelakkan beban hutang yang tidak terkawal.
-- BERNAMA