KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- AIA PUBLIC Takaful Bhd mengumumkan agihan lebihan tertinggi sebanyak RM84 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Pengendali takaful itu menerusi satu kenyataan hari ini berkata agihan tersebut yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 617,000 pemegang sijilnya menandakan peningkatan sebanyak 19 peratus daripada RM70.7 juta pada 2023 dan merupakan agihan lebihan tertinggi oleh syarikat itu setakat ini.
“Lebihan yang kukuh ini mencerminkan kualiti portfolio sijil aktif AIA PUBLIC Takaful serta tumpuan strategik syarikat untuk membina tenaga agensi yang paling produktif dan profesional,” katanya.
Syarikat itu berkata pemegang sijil yang layak telah dimaklumkan mengenai agihan lebihan mereka secara berperingkat bermula Julai 2025 melalui pelbagai saluran komunikasi, termasuk e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Selain itu, makluman tersebut juga disediakan melalui aplikasi AIA+ yang membolehkan para pelanggan mengakses Surat Lebihan mereka dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana saja,” katanya.
Bagi sijil yang masih berkuat kuasa, jumlah lebihan telah dikreditkan ke dalam Dana Pelaburan Peserta atau Akaun Peserta pada Jun 2025 mengikut terma dan syarat sijil.
AIA PUBLIC Takaful juga menggesa pelanggan yang masih belum menerima sebarang makluman untuk menghubungi Perancang Hayat masing-masing atau Talian Khidmat Pelanggan AIA PUBLIC Takaful di talian 1300-88-8922 untuk bantuan lanjut.
Selain itu, selaras dengan prinsip dan konsep takaful yang berlandaskan bantuan dan sokongan bersama, pelanggan yang menyertai pelan terpilih AIA PUBLIC Takaful turut diberi pilihan untuk mendermakan lebihan mereka kepada badan kebajikan.
“Bagi tahun kewangan berakhir 2024, hampir 11,000 pemegang sijil telah memilih untuk menyumbangkan lebihan mereka, yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.53 juta kepada Tabung Amal Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding RM2.2 juta pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan penyertaan ini mencerminkan komitmen yang semakin tinggi dalam kalangan pelanggan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti yang akan membantu mengukuhkan inisiatif amal bagi memperkasakan rakyat Malaysia untuk hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” kata syarikat itu.
Lebihan takaful adalah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali takaful, sekiranya ada, yang terhasil daripada Dana Risiko Peserta (Dana Tabarru’) setelah ditolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun, dan keperluan modal solvensi.
Jumlah lebihan yang diagihkan secara tahunan, dikongsi secara saksama dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan caruman Tabarru’ mereka, dengan syarat sijil kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran produk atau inisiatif komuniti AIA PUBLIC Takaful, boleh layari www.aia.com.my
--BERNAMA