AM

PEMERKASAAN WANITA PERLU MELANGKAUI SEKTOR FORMAL - DR WAN AZIZAH

28/07/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Peranan wanita dalam sektor tidak formal khususnya suri rumah dan penjaga keluarga perlu diiktiraf dan dihargai setimpal dengan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata dasar wanita yang digubal kerajaan seperti Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030 bukan sahaja memberi penekanan terhadap kepentingan memperkasakan wanita, malah meningkatkan kesedaran awam tentang peranan besar yang dimainkan golongan itu dalam kemajuan negara.

“Dasar itu penting bagi memajukan wanita selain menaikkan imej dan menghargai sumbangan mereka kepada negara. Polisi ini mencerminkan komitmen kerajaan ke arah masa depan yang lebih baik untuk wanita, terutamanya dalam menyumbang proses pembangunan negara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Walkabout Khas DWN dan PTPW 2025-2030 di Parlimen Malaysia di sini hari ini.

Majlis bertemakan ‘Martabat Wanita, Memperkukuh Negara’ itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng.

Sementara itu, Nancy pada sidang media sama mencadangkan kerja penjagaan tidak berbayar sewajarnya mendapat penghargaan yang setimpal dengan kerja berbayar, khususnya bagi wanita daripada kumpulan rentan yang benar-benar memerlukan sokongan.

“Kita perlu tukarkan kepada sesuatu yang bersamaan dengan kerja penjagaan yang dibayar,” katanya.

Beliau turut menekankan perlunya pendekatan menyeluruh kerajaan untuk memperkasakan wanita serta memastikan keseimbangan terhadap beban kerja yang ditanggung golongan itu.

Nancy berkata sistem sokongan juga perlu diperkukuh untuk wanita berkerjaya, termasuk penyediaan taska di tempat kerja dan sokongan daripada ahli keluarga.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan