KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd (Takaful Malaysia Am) memperkenalkan Perlindungan Takaful Siber pertama di Malaysia yang ditawarkan pada harga serendah RM14.80 setahun.
Perlindungan ini ditawarkan pada kadar mampu milik kepada semua pelanggan bank bagi mengharungi cabaran keselamatan digital yang semakin meningkat.
"Inisiatif berimpak timggi ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi dalam mengukuhkan keselamatan digital para pelanggan serta meningkatkan keselamatan ancaman siber yang semakin meningkat," kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan hari ini.
Pelanggan yang layak dan bersetuju untuk mendapatkan perlindungan ini akan menerima perlindungan siber untuk 12 bulan, yang merangkumi produk tiruan, penipuan keyakinan dan pemindahan dana elektronik tanpa kebenaran.
Selain itu, perlindungan ini juga akan diberikan secara automatik kepada pelanggan baharu MSalary+ (pakej gaji komprehensif) sebagai sebahagian daripada proses langganan produk runcit bank.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, Takaful Malaysia Am telah dilantik untuk mengurus pelan perlindungan siber berkenaan di bawah perkongsian bancatakaful dengan Bank Muamalat.
Ditawarkan di semua cawangan Bank Muamalat, inisiatif ini adalah sebahagian daripada misi bank untuk memperjuangkan pengalaman perbankan digital yang selamat, terjamin dan inklusif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada dedikasi bank untuk memastikan pelanggan berasa selamat dan yakin setiap kali melakukan transaksi dalam talian.
“Dengan mengintegrasikan perlindungan siber dalam tawaran kami, kami bukan sahaja melindungi pelanggan daripada ancaman, malah turut memperkukuh kepercayaan dan daya tahan dalam landskap perbankan masa kini,” katanya.
CEO kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal pula berkata inisiatif ini mengukuhkan kepimpinan syarikat dalam mendorong inovasi dan kepercayaan dalam ekosistem kewangan digital negara.
“Pelancaran pelan perlindungan patuh syariah pertama seumpamanya di Malaysia ini merupakan satu pencapaian penting dalam perkongsian strategik bancatakaful bersama Bank Muamalat, yang mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkukuh daya tahan digital dan menangani landskap ancaman siber yang semakin meningkat,” katanya.
Inisiatif ini secara langsung menyokong aspirasi negara di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020–2024 dan agenda pengurusan risiko digital Bank Negara Malaysia. Ia juga melengkapi usaha kerajaan ke arah perkhidmatan kewangan yang inklusif, selamat dan berasaskan teknologi.
Dengan menjadi bank Islam pertama di negara ini yang menawarkan perlindungan tersebut, Bank Muamalat mengukuhkan peranannya sebagai perintis perbankan digital, rakan kewangan yang dipercayai serta pendokong utama pembinaan kepercayaan pelanggan berasaskan nilai patuh syariah.
Pelan Perlindungan Kecurian Siber ini boleh didapati mulai Ogos 2025 di semua cawangan Bank Muamalat di seluruh negara.
-- BERNAMA