AM

168 KES DISIPLIN BABITKAN GURU DIREKODKAN DI N.SEMBILAN - EXCO

04/08/2025 03:47 PM

SEREMBAN, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan merekodkan 168 kes isu disiplin melibatkan pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru di jabatan tersebut bagi tempoh 2021 hingga tahun ini, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan diberitahu hari ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Ismail Lasim berkata Seremban merekodkan 89 kes, Jempol/Jelebu (36), Tampin (13), Port Dickson dan Kuala Pilah masing-masing 11 kes dan Rembau (lapan).

“Antara kesalahan berkenaan tidak hadir bertugas, pemalsuan dokumen, penyelewengan kewangan, penyataan awam, ingkar perintah, jenayah, penglibatan dalam politik, mencederakan murid dan gangguan seksual.

“Tindakan susulan yang diambil kepada guru terlibat adalah mengikut tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A)395/1993)," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu senarai isu disiplin melibatkan guru di seluruh Negeri Sembilan dari 2021 hingga kini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling berkata tindakan tatertib berkenaan diambil berdasarkan jenis kesalahan dan bagi kesalahan berat, tindakan pemberhentian boleh dilaksanakan terhadap guru terbabit.

Dalam perkembangan berasingan, DUN Negeri Sembilan hari ini memilih ADUN Lenggeng Datuk Mohd Asna Amin sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN selepas hanya nama beliau diterima untuk pencalonan jawatan tersebut yang dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Asna, 46, merupakan Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan