DUNIA

CHINA MAIN PERANAN SIGNIFIKAN DALAM URUSAN PBB - PENGARAH UNOPS

04/08/2025 04:29 PM

BEIJING, 4 Ogos (Bernama-CMG) -- Pengarah Eksekutif Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOPS) Jorge Moreira da Silva berkata, China memainkan peranan signifikan dalam tadbir urus global, merangkumi usaha menangani perubahan iklim serta mewujudkan pembangunan dan kerjasama.

Di samping itu, sokongan tegas China terhadap multilateralisme juga amat penting.

"Dunia kini amat perlu untuk mengintensifkan mekanisme kerjasama sejagat demi mengangkat semula sistem kerjasama multilateral. China memainkan peranan penting dalam hal tersebut", kata da Silva ketika ditemu bual wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-80 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai  satu daripada negara pengasas organisasi sejagat itu, China sentiasa secara aktif menyertai urusan PBB.

Mengulas mengenai kerjasama antara PBB dengan China, da Silva mengatakan bahawa China selama ini secara aktif terlibat dalam proses pembangunan global, menyokong negara-negara membangun di pelbagai kawasan seperti Afrika untuk mewujudkan pembangunan dan kerjasama.

"Dari Inisiatif Pembangunan Global (GDI) ke inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), semua ini bukti China memperdalam hubungan rakan dan mendorong pembangunan bersama dengan negara-negara membangun yang lain," kata beliau.

Ketika diminta memberikan komen tentang anjuran Presiden China Xi Jinping yang mementingkan perlindungan ekologi alam sekitar dan pembangunan hijau, da Silva memberikan penilaian tinggi terhadap pandangan strategik dan keazaman tegas pemimpin China itu.

Beliau yakin China mampu mewujudkan sasaran peneutralan karbon menjelang tahun 2060. Selain itu, beliau menganggap usaha China dalam bidang tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan sebagai amat berjaya.

"Ini memberikan isyarat yang jelas dan positif dan amat signifikan untuk tadbir urus global," kata beliau.

–BERNAMA-CMG



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan