DUNIA

ENAM PELOMBONG SAH TERKORBAN DALAM INSIDEN RUNTUHAN LOMBONG DI CHILE

04/08/2025 05:03 PM

ISTANBUL, 4 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Kesemua enam pelombong yang terperangkap dalam runtuhan di Lombong Tembaga El Teniente, Chile disahkan meninggal dunia, susulan runtuhan yang berpunca daripada gempa bumi baru-baru ini, menurut seorang pegawai pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

"Pada 3.30 petang hari ini, kami akhirnya menemukan mayat terakhir mangsa yang hilang di Lombong El Teniente," kata pendakwa raya Aquiles Cubillos seperti dilaporkan akhbar El Mercurio On-Line.

Kenyataan itu mengesahkan tiada mangsa yang terselamat dalam runtuhan yang berlaku pada Khamis.

Syarikat National Copper Corporation of Chile (Codelco), pengendali lombong berkenaan, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terkorban.

Insiden berkenaan berlaku di dalam sebuah terowong di bawah projek Andesita selepas satu gegaran seismik berukuran 4.2 pada skala Richter.

Chile sebelum ini pernah mencatatkan beberapa insiden, termasuk insiden di Lombong El Teniente pada 1945 yang mengorbankan 355 pelombong serta kejadian runtuhan Lombong San Jose pada 2010 yang menyebabkan 33 pelombong terperangkap selama 69 hari.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan