KUCHING, 4 Ogos (Bernama) -- Pengurus Keselamatan Kebakaran atau Pegawai Keselamatan Kebakaran akan menerima tauliah dan kuasa penuh untuk menjalankan pemeriksaan dalaman serta menyediakan laporan teknikal bagi tujuan pembaharuan Sijil Perakuan Bomba tanpa keperluan pemeriksaan fizikal tahunan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata langkah itu sebahagian daripada pelaksanaan pendekatan penguatkuasaan kendiri di bawah sistem pentauliahan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya tahun depan.
“Fire Safety Manager (Pengurus Keselamatan Kebakaran) akan bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan ujian dan pemeriksaan dalaman terhadap sistem keselamatan kebakaran bangunan serta menghantar laporan kepada JBPM sebagai asas untuk pembaharuan sijil.
“Ini bermakna, kita tidak lagi perlu melakukan pemeriksaan fizikal secara tahunan. Bagaimanapun, JBPM tetap akan menjalankan audit berkala setiap dua atau tiga tahun bagi mengesahkan ketepatan laporan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Zon Selatan di sini hari ini.
Beliau menegaskan mana-mana individu yang gagal mematuhi tatakelola keselamatan kebakaran atau melanggar piawaian ditetapkan boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk penarikan balik tauliah serta denda, mengikut peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Beliau berkata peralihan kepada sistem kawal selia kendiri ialah langkah ke hadapan bagi memperkasakan industri dalam aspek pematuhan keselamatan, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pengawasan langsung oleh agensi kerajaan.
“Ini bukan tanggungjawab kecil. Pegawai yang ditauliahkan mesti mematuhi standard dan garis panduan yang kita tetapkan. Jika berlaku pelanggaran, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Nor Hisham berkata latihan dan pentauliahan pegawai berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, dan setakat ini lebih 600 individu mendaftar menyertai program berkenaan.
JBPM telah dilantik sebagai ILB oleh Kementerian Sumber Manusia dari 2025 hingga 2027, menjadikan jabatan itu bertanggungjawab merangka piawaian latihan, mengiktiraf penyedia latihan serta menyelaras kawal selia terhadap pegawai keselamatan kebakaran yang ditauliahkan.
“Latihan untuk Fire Safety Officer (Pegawai Keselamatan Kebakaran) akan berlangsung selama tiga hari, manakala Fire Safety Manager (Pengurus Keselamatan Kebakaran) perlu menjalani kursus selama lima hari termasuk komponen pemeriksaan teknikal dan pelan pengungsian bangunan,” katanya.
-- BERNAMA