AM

WANITA PALESTIN ANTARA PESERTA MTHQA HARI INI

04/08/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Wakil Palestin Jenan Nabil Mohammed Nofal antara lapan peserta kategori hafazan yang akan memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Penuntut wanita di Madrasah Nur liTajweed wa Tahfiz Al-Quran di wilayah Qalqilya, kira-kira 20 kilometer dari  Baitulmuqaddis itu membuat penampilan pertama dalam musabaqah hafazan peringkat antarabangsa.

Jenan, 24, ketika ditemui pemberita berkata dia menghafal al-Quran sekurang-kurangnya lima hingga 10 juzuk setiap hari bagi mengekalkan hafazan.

“Saya mula menghafaz sejak kecil dengan niat untuk membanggakan ibu bapa saya,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu menerusi penterjemah.

Peserta hafazan lain yang memperdengarkan bacaan hari ini ialah Moussa Ayouba Idrissa dari Nigeria, Abdulkadir Yusuf Mohamed (Somalia), Mohammad Yahya Al Zahabi (Lubnan), Isha Sowe (Gambia), Dzhalil Nurutdinov (Rusia), Md Fazle Rabby (Bangladesh) dan Seyma Yildirim (Turkiye).

MTHQA kali ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos bertemakan “Membangun Ummah MADANI” dan menampilkan lebih 70 peserta dari seluruh dunia. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan