KUCHING, 6 Ogos (Bernama) -- Jambatan unik merentasi Sungai Bintangor, Satok di sini yang dinamakan Jambatan Datuk Amar Juma'ani, bakal memberi nilai tambah kepada bandar raya ini dari segi ekonomi dan pelancongan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata nilai aset masyarakat di kawasan berkenaan juga akan meningkat kesan daripada pembangunan baharu di situ.
“Hal ini bukan sekadar pembinaan jambatan semata-mata, sebaliknya berpotensi untuk pelan pembangunan masa hadapan seperti pembinaan apartmen dan konsep kediaman moden, namun pada masa sama tidak menghilangkan identiti kampung asal.
“Jambatan ini boleh menjadi tarikan pelancongan. Kita boleh cantikkan lagi kawasan sekitar sungai, mungkin dengan adanya perahu seperti gondola di Venice (Itali). Kalau di Venice ada gondola, di sini kita boleh ada versi kita sendiri,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jambatan itu malam tadi, yang secara rasmi dinamakan sempena nama Allahyarham isterinya Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.
Abang Johari berkata kawasan terbabit berpotensi menjadi tumpuan pelancong bergambar atau membeli cenderamata hasil kraf tangan tempatan, sekali gus memberi peluang ekonomi kepada penduduk kampung.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Satok Datuk Ibrahim Baki mencadangkan nama Juma’ani sebagai penghormatan kepada Allahyarham isteri Premier Sarawak itu dan disokong Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Juma’ani yang meninggal dunia pada 23 Jun lepas, di sini pada usia 76 tahun dikenang sebagai seorang yang aktif dalam melakukan kebajikan di negeri ini selain tonggak penting di sebalik kejayaan dan kestabilan kepimpinan Abang Johari dalam membangunkan Sarawak.
Jambatan merentasi Sungai Bintangor sepanjang 108.5 meter itu mula dibina pada Disember 2019 melibatkan kos RM50.6 juta, dengan reka bentuk empat lorong dua hala.
-- BERNAMA