DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA MENINGKAT, JEJAKI PRESTASI PASARAN SERANTAU

05/08/2025 10:00 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun daripada penyusutan semalam apabila dibuka meningkat hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau ketika pelabur kekal optimis Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah utamanya pada bulan depan.

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.32 mata atau 0.35 peratus kepada 1,532.30 daaripada paras penutup 1,526.98 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 1.65 mata kepada 1,528.63.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 217 berbanding 108 manakala 261 lain tidak berubah, sebanyak 1,904 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 162.99 juta unit bernilai RM100.97 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.92 peratus kepada 24,733.45, Kospi Korea Selatan meraih 1.61 peratus kepada 3,198.53, Nikkei 225 Jepun menokok 0.49 peratus kepada 40,487.13 manakala Indeks Straits Times Singapura kekal pada 4,197.23.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur kekal berharap Rizab Persekutuan AS (Fed) akan bertindak menurunkan kadar faedah pada bulan depan yang dijangka mendorong Beijing untuk mengekalkan dasar monetari yang lebih longgar.

“Namun, kami percaya FBM KLCI mungkin akan menerima sedikit tempias dalam bentuk sokongan belian dan dijangka dalam julat 1,525-1,535 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lapan sen kepada RM9.62, Public Bank meraih empat sen kepada RM4.28, Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM13.22, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.76 manakala IHH Healthcare rugi dua sen kepada RM6.68.

Bagi saham aktif, NexG dan Dagang Nexchange masing-masing kekal pada 53.5 sen dan 28.5 sen, Pharmaniaga naik setengah sen kepada 18.5 sen, Top Glove turun satu sen kepada 64.5 sen dan Harvest Miracle Capital berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas mengukuh sebanyak 37.47 mata kepada 11,510.29, Indeks FBMT 100 meningkat 35.75 mata kepada 11,269.35 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 22.37 mata kepada 11,515.58.

Indeks FBM 70 menokok 38.17 mata kepada 16,652.43 dan Indeks FBM ACE naik 24.82 mata kepada 4,654.19.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 93.63 mata kepada 17,458.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.75 mata kepada 158.67, Indeks Tenaga meningkat 1.86 mata kepada 741.65 manakala Indeks Perladangan susut 8.05 mata kepada 7,362.40.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan