AM

ISU PERUNTUKAN: PM ANWAR MINTA PEMBANGKANG CAPAI KATA SEPAKAT SEBELUM RUNDING

05/08/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati wakil rakyat pembangkang supaya mencapai kesepakatan terlebih dahulu antara mereka sebelum mengemukakan tuntutan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Anwar berkata sekiranya ahli-ahli Parlimen pembangkang berjaya mencapai persetujuan bersama, mereka boleh mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi mandat untuk menguruskan perkara tersebut.

“Saya setuju, sebab itu saya minta TPM (Fadillah) terbuka untuk mendengar. Cuma kalau mula, mesti ada kesepakatan di antara ahli Parlimen pembangkang dulu dan setakat ini mereka belum mencapai kata sepakat. Ada yang setuju runding, ada yang tak setuju runding.

“Jadi saya cadangkan Yang Berhormat Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) runding dulu dengan Perikatan Nasional (PN) dan ahli-ahli Parlimen, dapatkan kata sepakat, kemudian beritahu TPM (Fadillah) yang telah diberi mandat,” katanya menjawab soalan Shahidan (PN-Arau) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab kesediaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu peruntukan tersebut, Anwar berkata perkara berkenaan telah diserahkan kepada Fadillah.

“Saya sedia jumpa, tetapi kalau soal peruntukan, kita telah memberi mandat kepada TPM (Fadillah). Jadi, untuk hal itu saya serah kepada TPM. Jika mahu bincang hal-hal lain, saya tiada keberatan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan