Ibarat dakwat dengan kertas, hubungan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi bernama Internet dengan masyarakat sukar dipisahkan. Malah, dapat dikatakan tanpa teknologi itu kehidupan sebahagian manusia menjadi pincang.
Pesona dunia tanpa sempadan ini memberi impak terhadap gaya hidup masyarakat tanpa mengira umur, namun yang membimbangkan ialah peningkatan pengguna dalam kalangan kanak-kanak memandangkan ada bahaya tidak terlihat di sebalik warna-warni alam siber, terutamanya platform media sosial.
Berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ‘Our Lives Online’ pada 2020, sebanyak 91 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun melayari Internet setiap hari, dengan 70 peratus daripadanya pernah terdedah kepada kandungan mengganggu.
Pada 2021, kajian UNICEF Malaysia pula menunjukkan empat peratus kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan Internet berdepan ancaman eksploitasi dan penderaan seksual secara maya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam Kajian Pengguna Internet pada 2020, mendapati 56.3 peratus kanak-kanak melayari Internet secara bersendirian.
KEMPEN INTERNET SELAMAT
Demi melindungi jiwa polos ini daripada ancaman siber, Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS), sebuah inisiatif nasional bertujuan memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan digital yang semakin membimbangkan.
Kempen ini memfokuskan pada isu-isu utama seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital serta kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang dilihat kian menular.
pic-2
Pelaksanaan KIS secara berperingkat dari 2025 hingga 2027 menyasarkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk kanak-kanak, remaja, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, ibu bapa, komuniti MADANI dan warga emas.
Untuk fasa pertama sepanjang 2025, pelaksanaan KIS bertumpu pada lebih 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Di Sabah, hampir 1,300 buah sekolah terlibat dalam kempen itu, termasuk Sekolah Rendah Kebangsaan Sung Siew di Sandakan, kira-kira 324 kilometer dari sini.
Menyifatkan kempen itu sebagai langkah tepat dalam melindungi murid, Guru Besarnya Liew Choi Yen berkata menerusi aktiviti yang dijalankan, murid dapat belajar membezakan kandungan Internet yang sesuai dengan tidak sesuai untuk mereka.
“Kami harap kempen ini akan diperluaskan kerana ia sangat bagus,” katanya kepada Bernama.
Seramai 120 orang murid tahun empat hingga enam di sekolah itu menyertai kempen yang berlangsung pada Jun lepas, dengan setiap aktiviti dijalankan oleh fasilitator terlatih daripada MCMC.
Modul kempen menekankan empat fokus utama, iaitu buli siber, penipuan dan judi dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak serta perlindungan data dan literasi digital.
PERANAN
Ibarat melentur buluh dari rebungnya, Liew berkata institusi pendidikan termasuk sekolah rendah, memainkan peranan penting dalam menerapkan pembelajaran keselamatan siber sedari awal lagi agar generasi muda mempunyai tahap waspada tinggi ketika melayari Internet.
Bagaimanapun kata beliau, sebaiknya kempen turut melibatkan kumpulan murid Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) agar mereka juga terdedah kepada etika penggunaan peranti pintar dan Internet lebih awal.
pic-3
Liew berkata kerjasama ibu bapa juga perlu, antara lain memantau aktiviti siber anak-anak mereka yang lebih banyak meluangkan masa di rumah berbanding sekolah.
Sementara itu, guru bimbingan dan kaunseling sekolah tersebut Chong Yee Kei berkata hubungan erat antara ibu bapa dan guru amat penting dalam memantau aktiviti Internet murid bagi mendisiplinkan mereka supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak ketagihan peranti pintar.
Chong berkata Kempen Internet Selamat mampu membantu murid memahami cara menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab dan seterusnya melindungi mereka daripada eksploitasi siber.
Lebih-lebih lagi sekarang pembelajaran digital diamalkan oleh hampir semua pelajar, dan secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan Internet sekiranya dibiarkan tanpa pemantauan, katanya yang juga Ikon K-Dat kempen di sekolah berkenaan.
“Pembelajaran digital menggunakan platform yang disediakan biasanya selamat dan tidak melibatkan media sosial. Namun, dikhuatiri apabila murid menggunakan Internet untuk pembelajaran digital, tetapi dalam masa sama melayari saluran lain.
“Inilah risikonya apabila tidak dipantau oleh ibu bapa dan guru. Murid akan terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk ‘scammer’. Mereka di bawah umur, tidak sedar bahawa perkongsian maklumat peribadi (di media sosial) adalah tidak selamat. Menerusi kempen ini, murid belajar menggunakan platform digital dengan lebih bijak,” katanya.
Chong turut mencadangkan kempen itu diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai murid cakna risiko keselamatan serta kesan sekiranya Internet tidak digunakan dengan betul.
KESEDARAN
Seorang peserta Sharifah Alya Adriana Habib Alibi, 12, berkata dia sedar tentang pentingnya pengetahuan keselamatan Internet memandangkan terdapat terlalu banyak kandungan alam siber yang tidak sesuai untuk golongan seusianya.
Meskipun ada kebaikan termasuk untuk pembelajaran, namun murid tahun enam sekolah itu berpendapat generasi sebayanya tidak boleh leka melayari Internet sehingga mengabaikan keselamatan.
pic-4
“Kempen ini menyedarkan murid untuk menggunakan media sosial dengan baik, selamat dan ada pemantauan ibu bapa,” katanya yang meluangkan masa satu hingga empat jam sehari melayari Internet, antara lain untuk belajar serta bermain permainan dalam talian.
Berkongsi pengalaman menyertai kempen, Brandon Jeffrin, 12, berkata dia sangat seronok dan gembira kerana maklumat yang disampaikan oleh fasilitator di setiap stesen aktiviti mudah difahami.
Mohd Daniel Quesairy Abdul Lamit, 12, pula berkata kempen itu tidak hanya mendedahkan etika penggunaan Internet yang betul, tetapi juga memberi kesedaran kepada murid supaya tidak menghabiskan masa bermain peranti pintar kerana ia akan memberi kesan kepada kesihatan.
TEGAS
Ibu bapa turut bersetuju kempen itu dianjurkan secara meluas melihat pada perubahan zaman yang menyaksikan penggunaan peranti pintar dan Internet cukup ketara dalam kalangan kanak-kanak ketika ini.
Norayuni Jaafar, 38, berkata aplikasi keibubapaan boleh digunakan sebagai antara pemudah cara yang dapat membantu golongan ibu bapa memantau penggunaan peranti pintar dan Internet anak-anak, termasuk memastikan kandungan dilayari tidak mengundang bahaya kepada mereka.
“Memang kita kena ikut peredaran zaman sebab semua aktiviti, contohnya kerja sekolah, (dilakukan) melalui telefon. Jadi, penting kawalan penggunaan Internet anak-anak supaya mereka tidak salah gunakan kemudahan ini sehingga terdedah kepada aplikasi atau kandungan tidak selamat,” katanya.
Herman Yussof, 47, pula mengambil pendekatan tegas menetapkan had masa skrin anak-anaknya bagi memastikan mereka lebih mengutamakan penggunaan telefon, komputer riba dan Internet hanya untuk mengulang kaji pelajaran serta menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tetapkan Sabtu dan Ahad sahaja menggunakan Internet. Isnin hingga Jumaat fokus belajar dan menyiapkan kerja rumah. Masa penggunaan pula antara 8 pagi hingga 12 tengah hari, tidak boleh hingga lewat malam untuk elak lambat ke sekolah,” katanya.
PESANAN
Memetik pesanan khidmat masyarakat Kempen Internet Selamat oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, anak-anak kini terdedah kepada dunia tanpa sempadan, penuh ancaman dan tipu daya.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membiarkan anak-anak melayari media sosial tanpa pengawasan kerana boleh menjadi permulaan kepada silap langkah dan kerosakan.
“Kita tidak boleh leka. Pastikan anak-anak kita dilindungi daripada bahaya siber yang tidak kenal waktu. Pantau setiap aktiviti dalam talian mereka.
“Dunia digital mesti menjadi ruang yang selamat, bukan perangkap yang memusnahkan masa depan anak-anak kita,” katanya dalam video pendek itu yang diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan MCMC, bersempena dengan pelancaran Kempen Internet Selamat.