KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) memeterai kerjasama untuk tempoh lima tahun bernilai RM1.0 bilion dengan Microsoft bagi memacu transformasi digitalnya.
Menurut bank itu dalam kenyataan hari ini, kerjasama tersebut akan menyaksikan Maybank memanfaatkan keupayaan rangkaian kerjasama, teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI) Microsoft untuk meningkatkan keutamaan pelanggan, mempertingkat operasi dan menggalakkan budaya inovasi yang berterusan.
Ia turut termasuk menaik taraf keupayaan sedia ada kepada Microsoft 365.
“Sebagai teras utama kerjasama ini, Maybank akan menggunakan Microsoft Azure sebagai antara platform awan utama untuk beberapa sistem, fungsi dan beban kerja data yang paling strategik,” katanya.
Katanya langkah ini memberikan Maybank asas yang boleh berkembang, berdaya tahan dan selamat, membolehkan analisis data pada masa nyata, pelaksanaan perkhidmatan baharu yang lebih cepat dan kecekapan operasi yang ketara.
“Bagi meningkatkan lagi produktiviti, Maybank akan melaksanakan penggunaan Microsoft 365 Copilot kepada semua 44,000 pekerjanya untuk memperkasakan warga Maybank dengan keupayaan meluas dipacu oleh kecerdasan buatan,” katanya.
Selain penggunaan teknologi, Maybank menyifatkan kerjasama ini sebagai pelaburan strategik dalam asetnya yang paling bernilai, iaitu warga kerjanya.
Kerjasama ini juga akan mengkaji penubuhan sebuah pusat kecemerlangan bagi kedua-dua syarikat bekerjasama dalam membangunkan inovasi berasaskan awan dan AI serta memupuk bakat dalaman dalam bidang tersebut.
-- BERNAMA