EKONOMI

BNM TERUSKAN PELAKSANAAN INISIATIF UTAMA PACU PENDIGITALAN - GABENOR

05/08/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan pelaksanaan beberapa inisiatif utama bagi memacu pendigitalan di negara ini memandangkan sistem itu memerlukan lebih daripada sekadar teknologi serta model perniagaan baharu.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat itu telah bertindak menerbitkan Kertas Perbincangan mengenai Kecerdasan Buatan (AI) hari ini yang menggariskan pendekatan dalam kawal selia dan pembangunan, termasuk bidang keutamaan untuk kerjasama diterajui industri serta penerimagunaan AI yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan kewangan.

“Menjelang akhir tahun ini, kita akan menerbitkan Draf Pendedahan mengenai Kewangan Terbuka yang menetapkan visi (BNM) bagi ekosistem perkongsian data yang dipacu oleh data serta mendapat kebenaran pelanggan.

“Kita akan turut menerbitkan Kertas Perbincangan mengenai Tokenisasi Aset (pengewangan token) yang menggariskan potensi kes penggunaan serta langkah perlindungan dalam memastikan penerimagunaan yang selamat,” katanya ketika berucap pada acara perasmian Minggu Fintech Malaysia (MyFintech Week) 2025 di sini, hari ini.

Abdul Rasheed juga menekankan, sistem yang kalis masa depan memerlukan rangka kerja perkongsian data dan identiti digital yang selamat, tadbir urus data yang mantap, keberkesanan keselamatan siber serta asas pengawalseliaan yang membolehkan inovasi terangkum, bertanggungawab serta diyakini.

Beliau berkata Hab Inovasi Aset Digital yang baru dilancarkan akan membolehkan eksperimentasi dengan kes penggunaan dunia sebenar seperti pembayaran boleh diprogram serta kewangan rantaian bekalan.

Usaha sedemikian, katanya, bertepatan dengan sandbox pengawalseliaan BNM dan inisiatif Suruhanjaya Sekuriti yang menyediakan kerangka pengawalseliaan bagi pelaburan aset digital sejak 2019.

Aset digital yang semakin membentuk perkhidmatan kewangan dan menawarkan kecekapan serta model penyampaian baharu, juga mempunyai potensi besar dan tidak boleh diabaikan, katanya.

Bersandarkan kepentingan itu juga, beliau berkata pendekatan BNM juga sendiri berpandukan prinsip-prinsip yang jelas.

“Kita terbuka kepada inovasi yang membawa nilai kepada ekonomi serta penyokong kes penggunaan yang produktif. Namun, kita juga sentiasa peka terhadap perkembangan yang berserta risiko tidak dijangka atau beroperasi di luar keperluan perlindingan diperlukan bagi mengekalkan kestabilan kewangan serta keyakinan awam,” katanya.

Beliau berkata bank pusat itu turut meningkatkan sistem pembayaran borong bagi menyokong daya tahan pasaran dan aliran rentas sempadan, termasuk meneroka masa depan wang menerusi ‘Projek Mawar” -- inisiatif mata wang digital bank pusat selain kerjasama dengan BIS Innovation Hub.

Abdul Rasheed berkata pendigitalan turut mentransformasi insurans dan takaful dengan inovasi seperti bantuan jalanan secara digital.

“Bank digital serta pengendali insurans dan takaful digital yang bakal beroperasi, dijangka membawa pendekatan baharu, model perniagaan berasaskan digital sepenuhnya serta tumpuan terhadap segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan dan mendorong transformasi menyeluruh dalam industri,” katanya.

BNM turut memacu inovasi melalui Makmal Inovasi Kewangan Iklim di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bersama industri.

Inisiatif itu mengumpulkan pihak awam, swasta dan badan kebajikan bagi menguji instrumen kewangan baharu, termasuk berasaskan kewangan Islam bagi menangani risiko alam sekitar dan sosioekonomi secara menyeluruh.

Edisi ketiga Minggu MyFintech 2025 yang bertemakan “Cetusan Idea, Inovasi, Cipta Bersama : Membentuk Masa Depan Kewangan,” berlangsung dari 4-7 Ogos dan dianjurkan bersama oleh BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Institut Bank-Bank Bertauliah Asia, Persatuan Fintech Malaysia serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan