EKONOMI

BANK DIGITAL: PERMULAAN MEMBERANGSANGKAN, BANYAK LAGI KEMAJUAN AKAN DICAPAI

03/08/2025 09:21 AM

Oleh M. Saraswathi & Karina Imran

 

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Perjalanan perbankan digital Malaysia memaparkan kemajuan yang baik dan berpotensi besar dalam membantu segmen pasaran yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, beliau berkata bank digital berlesen baru memulakan operasi, dengan kebanyakannya kini memberi tumpuan untuk meningkatkan asas deposit.

“Kita melihat kemajuan yang baik dengan kemasukan deposit daripada segmen pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya.

Dari segi pembiayaan, Abdul Rasheed berkata kebanyakan bank digital belum melancarkan sepenuhnya produk kredit kepada orang ramai.

“Malah, bank digital ini masih berada ‘di peringkat asas,’ dan tertakluk kepada had saiz aset. Masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

“Produk diperkenalkan secara beransur-ansur, dengan sebahagiannya ditawarkan terutamanya kepada kumpulan sasaran seperti kakitangan dan keluarga sebelum dilancarkan sepenuhnya kepada umum.

“Kami akan mempertimbangkan semua data utama daripada bank digital untuk membuat penilaian sama ada memenuhi matlamat utama kami dalam memberi perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mendapat perkhidmatan,” katanya.

Malaysia mempunyai lima bank digital berlesen iaitu GXBank, AEON Bank, Boost Bank, KAF Digital Bank dan Ryt Bank.

Kesemua bank digital ini diberikan lesen pada 29 April 2022 oleh BNM selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF).

Empat daripadanya telah mula menawarkan produk kepada orang ramai, menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan digital termasuk perbankan peribadi, penyelesaian perniagaan dan produk perbankan Islam.

GX Bank, bank digital yang diterajui Grab, adalah bank pertama menerima kelulusan untuk memulakan operasi pada 1 Sept 2023.

Ini diikuti oleh Boost Bank selaku usaha sama digital antara Boost (Axiata) dan RHB Banking Group yang memulakan operasi pada 15 Jan 2024, dan AEON Bank, bank digital Islam sepenuhnya yang pertama di Malaysia, yang dilancarkan secara rasmi dan memulakan operasi pada 26 Mei 2024.

MoF memberikan lesen kepada KAF Digital dan Ryt Bank untuk memulakan operasi pada 20 Dis 2024.

KAF Digital adalah entiti operasi yang ditubuhkan oleh konsortium bank digital Islam yang terdiri daripada Carsome, MoneyMatch, Jirnexu dan StoreHub, dengan KAF Investment Bank Bhd sebagai peneraju.

Sementara itu, YTL Digital Bank Bhd -- ditubuhkan melalui usaha sama antara YTL Digital Capital Sdn Bhd dan Sea Ltd untuk beroperasi sebagai Ryt Bank -- menyediakan rangkaian perkhidmatan termasuk pemindahan dana input teks tunggal dan pemahaman kewangan yang disesuaikan melalui platform yang dilengkapkan kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan