SUKAN

MALAYSIA PAMER AKSI MEMBANGGAKAN PADA KEJOHANAN LUNCUR OMBAK ASIA ASF

06/08/2025 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Skuad negara menampilkan persembahan membanggakan apabila atlet luncur ombak Lucas Santiago Wehle berjaya mencatatkan detik kecemerlangan awal buat Malaysia dalam Kejohanan Luncur Ombak Asia ASF 2025 di Mahabalipuram, Tamil Nadu, India.

Wehle yang bertanding dalam kategori Terbuka Lelaki menunjukkan ketepatan dalam pemilihan ombak serta gerakan teknikal yang tajam, membolehkan atlet berusia 16 tahun itu mencatatkan 11.37 mata untuk memenangi saringan (dua ombak terbaik), sekali gus memperoleh slot terus ke Pusingan 3, tanpa perlu melalui pusingan penyingkiran.

"Saya hanya fokus kepada ombak terbaik dan cuba kekal tenang. Sangat mengujakan meluncur di sini dan mewakili Malaysia," kata Wehle dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, peluncur veteran Mohd Nazrin Nasruddin, atau lebih dikenali sebagai “Yen”, merekodkan 8.40 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang wakil India Kishore Kumar (12.17) dan akan beraksi dalam pusingan penyingkiran untuk mendapatkan tempat di Pusingan 3.

Muhamad Nor Afiq Haikal (“Kal”) pula menduduki tempat ketiga dalam saringan penuh mencabar, dan akan bersaing dalam pusingan penyingkiran menentang rakan sepasukan, Yen, serta wakil dari Taiwan Tsung-Lin Han dan Mohammad Alizada (Afghanistan). 

Menurut kenyataan itu, Malaysia juga membuat penampilan sulung dalam kategori Terbuka Wanita menerusi Nurain Mat Isa, Tun Athirah Shah Norazhar dan Mona Rasidah Abdul Rashid, dengan masing-masing memperoleh tempat ketiga dalam saringan dan mara ke pusingan penyingkiran 2, sekali gus mengekalkan harapan Malaysia dalam kedua-dua kategori.

"Pertandingan di Mahabalipuram amat sengit. Kami berdepan dengan beberapa peluncur terbaik dari negara kuasa besar Asia, dan setiap saringan ialah medan ujian bagi kemahiran, strategi dan ketenangan.

"Namun, atlet kami telah berlatih dengan baik. Saya percaya mereka dapat mempamerkan bukan sahaja kemahiran, tetapi juga semangat dan keazamaan sukan luncur Malaysia," kata ketua jurulatih Muhammad Muttakin Talib.

Seterusnya, tumpuan kini terarah kepada Wehle apabila memulakan kempen bagi kategori bawah 18 tahun lelaki esok, yang akan berdepan peluncur dari India dan Lubnan.

Kejohanan itu menampilkan atlet dari lebih 20 negara, berlangsung dari 3 hingga 12 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan