Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perwakilan diplomatik Australia di seluruh Asia Tenggara sekali lagi bergabung melancarkan kempen digital tahunan sempena Hari ASEAN, menonjolkan kekuatan dan kepelbagaian kerjasama Australia-ASEAN menjelang sambutan Hari ASEAN pada 8 Ogos ini.
Kini memasuki tahun kelima penganjurannya, inisiatif itu telah berkembang menjadi tradisi digital meriah yang menyatukan 11 Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Australia di rantau ini, termasuk Misi Australia ke ASEAN, bagi berkongsi mesej video pendek oleh ketua misi masing-masing di pelbagai platform media sosial.
Kempen ini bermula pada 2021 sebagai inisiatif di Twitter semata-mata, namun telah disesuaikan dengan perkembangan semasa. Tahun lepas, ia diperluas ke Instagram menerusi akaun rasmi Misi Australia ke ASEAN (@ausmissionasean) yang menjadi peneraju kempen itu.
Setiap tahun, kempen dimulakan dan diakhiri oleh Misi Australia ke ASEAN, dan bagi tahun ini, jangkauannya diperluas lagi ke Facebook dan LinkedIn, dengan sasaran khalayak yang lebih luas dan pelbagai di seluruh rantau.
Turut disertakan dalam kempen tahun ini ialah Timor-Leste, susulan persetujuan para Pemimpin ASEAN terhadap penyertaannya sebagai anggota ASEAN.
Kempen digital ini memberikan gambaran dinamik dan visual mengenai kerjasama Australia dengan ASEAN dan negara-negara anggotanya, termasuk keutamaan bersama dalam bidang seperti daya tahan ekonomi, tindakan iklim, kerjasama maritim dan pendidikan, serta merai hubungan antara rakyat dan komitmen jangka panjang Australia terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.
Sempena Pengerusi ASEAN yang disandang Malaysia tahun ini, giliran pertama dalam penyerahan kempen diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, sebelum beralih secara abjad mengikut negara anggota ASEAN lain.
Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam kempen 2025 ini, menonjolkan hubungan erat yang telah lama terjalin dengan satu daripada rakan serantau Australia yang paling lama.
Menerusi mesej video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Jumaat, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke memuji kepimpinan Malaysia, khususnya dalam melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045.
“Sebagai sebahagian daripada Indo-Pasifik dan menerusi penyertaan kami dalam Sidang Kemuncak Asia Timur serta Forum Serantau ASEAN, Australia komited sepenuhnya terhadap kepusatan ASEAN,” katanya.
Heinecke turut memuji kejayaan Malaysia menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini yang turut dihadiri Menteri Luar Australia, Penny Wong.
“Tahun ini, kami bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam pelbagai inisiatif, termasuk ekonomi hijau, ekonomi penjagaan, pekerjaan masa depan dan Agenda Keamanan dan Keselamatan Wanita ASEAN,” kata beliau.
Pesuruhjaya Tinggi itu berkata Australia juga berbesar hati untuk bekerjasama secara tiga hala dengan Malaysia dan Timor-Leste dalam menyokong proses penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Beliau turut menekankan bahawa tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-70 kehadiran diplomatik Australia di Malaysia, sambil menyatakan bahawa Australia berbangga menjadi antara rakan Malaysia paling lama di rantau ini.
-- BERNAMA