KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Sesi pagi Bursa Malaysia ditutup dengan kenaikan, disokong oleh minat belian yang semakin rancak susulan pengumuman Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dengan sentimen pasaran turut dipengaruhi pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.12 mata mewakili 0.40 peratus kepada 1,533.10 berbanding 1,526.98 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.65 mata lebih tinggi pada 1,528.63 dan bergerak antara 1,528.63 dan 1,536.95 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan 414 kaunter untung mengatasi 400 kaunter rugi. Selain itu, 503 kaunter tidak berubah, 1,173 tidak diniagakan dan tujuh digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 1.56 bilion unit saham bernilai RM1.08 bilion.
Apex Securities Bhd menjangkakan minat belian yang kukuh daripada dana institusi tempatan susulan pengumuman RMK-13, kerana ia dilihat mampu menyerap tekanan pasaran secara keseluruhan, berpunca daripada aliran keluar dana asing yang berterusan.
"Selain itu, tumpuan pasaran kini beralih kepada pengumuman laporan kewangan syarikat-syarikat korporat akan datang serta indeks pengurus pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM Amerika Syarikat, dijangka dikeluarkan hari ini, yang mungkin memberi hala tuju pasaran seterusnya,” menurut nota syarikat pembrokeran itu hari ini.
Dalam kalangan saham utama, Maybank meningkat empat sen kepada RM9.58, Public Bank naik satu sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.22, manakala IHH Healthcare melonjak sembilan sen kepada RM6.79, sementara CIMB kekal pada RM6.75.
Dalam dagangan aktif, Pharmaniaga naik satu sen kepada 19 sen, TWL, Tanco dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 82 sen dan empat sen, manakala Top Glove merosot 1.5 sen kepada 64 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 41.62 mata kepada 11,514.44, Indeks FBMT 100 naik 39.71 mata kepada 11,273.31, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 46.44 mata kepada 11,539.65.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 35.58 mata kepada 16,649.84, manakala Indeks FBM ACE naik 11.02 mata kepada 4,640.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 48.95 mata kepada 17,413.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.66 mata kepada 158.68, dan Indeks Tenaga meningkat 1.74 mata kepada 741.53, manakala Indeks Perladangan merosot 1.74 mata kepada 7,368.71.
-- BERNAMA