HIROSHIMA (Jepun), 5 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Palestin dan Taiwan akan menghadiri upacara memperingati pengeboman atom di Hiroshima buat kali pertama, bersama penyertaan luar biasa daripada 120 negara dan wilayah sempena ulang tahun ke-80 tragedi itu, lapor agensi berita Kyodo memetik kerajaan bandar berkenaan.
Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui berkata peningkatan jumlah penyertaan mencerminkan kesedaran global yang semakin tinggi terhadap mesej keamanan yang dibawa oleh bandar itu.
"Sebagai bandar pertama yang mengalami kemusnahan akibat senjata nuklear... kami berusaha untuk menyebarkan 'semangat Hiroshima' ke seluruh dunia, iaitu harapan untuk merealisasikan keamanan sejati," katanya dalam wawancara bertulis kepada Kyodo News.
Kesatuan Eropah (EU) turut akan mengambil bahagian, manakala Belarus kembali menyertai buat kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas larangan ke atas kehadiran Rusia dan Belarus ditarik balik susulan perang di Ukraine.
Bagaimanapun, Rusia kekal tidak hadir tahun ini.
Dalam kalangan negara pemilik senjata nuklear, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis dijangka menghantar wakil masing-masing.
India, yang bukan penandatangan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) juga dijangka hadir.
China, Pakistan dan Korea Utara pula tidak merancang untuk mengambil bahagian.
Kerajaan bandar Hiroshima sebelum ini menghantar jemputan rasmi, tetapi kini hanya memberi makluman kepada negara dan wilayah berkenaan selepas timbul kontroversi tahun lalu susulan kehadiran Israel ketika serangannya ke atas Gaza masih berlangsung.
Upacara tahun lalu mencatat kehadiran 111 negara dan EU.
Muzium Peringatan Keamanan Hiroshima turut mencatatkan kehadiran tertinggi pada tahun lalu, iaitu seramai 2.26 juta pelawat.
Bandar itu juga menghantar jemputan kepada semua misi diplomatik dan menerima permintaan Taiwan untuk hadir buat kali pertama.
“Saya berharap dengan menyaksikan sendiri realiti pengeboman atom, para tetamu akan lebih memahami kesan tidak berperikemanusiaan akibat penggunaan senjata nuklear,” kata Datuk Bandar Nagasaki, Shiro Suzuki.
Pengeboman itu meragut lebih 210,000 nyawa sehingga akhir 1945, sekali gus mendorong Jepun untuk menyerah kalah enam hari selepas serangan di Nagasaki dan menamatkan Perang Dunia Kedua.
-- BERNAMA-KYODO