KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada kadar penanaman semula rendah pada 2024, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, kenaikan tersebut telah mendorong syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit untuk mengekalkan pokok sawit sedia ada bagi memperoleh pendapatan jangka pendek.
“Harga BTS merupakan antara faktor penting yang dipertimbangkan oleh syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit dalam membuat keputusan untuk melaksanakan aktiviti penanaman semula sawit atau sebaliknya.
“Hal ini kerana mereka masih memperoleh pendapatan hasil jualan BTS walaupun pengeluaran BTS di paras yang sangat rendah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika di minta oleh Jamaludin Yahya (PN-Pasri Salak) untuk menyatakan faktor utama yang menyebabkan kadar tanam semula sawit hanya mencapai 2.0 peratus pada tahun 2024, jauh lebih rendah daripada sasaran industri 4-5 peratus setahun.
Menurut Johari, harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 telah meningkat kepada RM4,179.50 satu tan berbanding RM3,809.50 satu tan pada 2023, sekali gus mendorong kenaikan harga purata BTS kepada RM875 satu tan berbanding RM778 satu tan pada tahun sebelumnya.
“Walaupun syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit memperoleh pendapatan hasil jualan BTS daripada pokok sawit tua dan tidak lagi produktif, produktiviti BTS secara keseluruhannya masih rendah dan ini menjejaskan pendapatan dan modal syarikat.
“Kekangan modal ini menyebabkan penangguhan penanaman semula sawit,” katanya.
Sementara itu beliau berkata faktor lain yang dikenal pasti adalah kebanyakan pekebun kecil sedia ada berada pada usia lanjut, manakala minat dalam kalangan generasi pelapis untuk meneruskan usaha penanaman semula dilihat semakin berkurangan.
Selain itu, kebimbangan terhadap kehilangan sumber pendapatan sementara dalam tempoh tanaman belum berhasil turut menjadi penghalang kepada pelaksanaan penanaman semula secara menyeluruh dan mengikut sasaran.
“Meskipun harga semasa BTS menawarkan pulangan yang memberangsangkan dalam jangka pendek, potensi hasil jangka panjang akan lebih terjamin sekiranya penanaman semula dilakukan secara terancang.
“Pokok sawit tua yang kurang produktif berisiko mengehadkan keupayaan maksimum ladang, baik bagi syarikat perladangan mahupun pekebun kecil,” katanya.
Justeru, beliau berkata mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan penanaman semula harus dilihat sebagai pelaburan strategik yang mampu memastikan ladang atau kebun kekal produktif, sekali gus menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil dan mampan dalam jangka masa panjang.
Johari berkata sekiranya penanaman semula sawit tidak dilakukan mengikut jangka masa hayat pokok tersebut, ia akan memberi kesan terhadap produktiviti.
“Selalunya pokok yang sudah matang boleh mencapai hasil sehingga 28 tan bergantung kepada amalan pertanian yang baik, tetapi sekiranya tidak buat penanaman semula, apabila pokok sawit mencecah usia 25, 26, 27 tahun, selalunya hasil yang kita dapat keluarkan hanya 4 hingga 5 tan tidak lebih daripada itu,” katanya.
-- BERNAMA