JENAYAH & MAHKAMAH

DUA BERADIK DITAHAN SELEPAS DIKEJAR SEJAUH 90 KILOMETER

05/08/2025 04:09 PM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Polis berjaya menahan dua beradik lelaki selepas mengejar kereta dinaiki mereka sejauh kira-kira 90 kilometer di sekitar bandar raya ini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian kira-kira 1.30 pagi itu berlaku selepas anggota unit kereta peronda (MPV) mengesan kereta jenis Proton Wira berwarna biru ketika melakukan rondaan di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini.

“Polis membunyikan siren dan menggunakan pembesar suara mengarahkan pemandu untuk berhenti namun suspek terus memecut laju kenderaan itu.

"Tindakan terbabit menyebabkan polis mengejar kereta suspek sejauh kira-kira 90 kilometer di sekitar Shah Alam sebelum enam MPV lain diarahkan membantu menahan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas hampir sejam mengejar, polis berjaya memintas kereta terbabit di Seksyen 9 berhadapan pintu pagar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor lalu menahan kedua-dua lelaki berusia 18 dan 24 tahun itu.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan lanjut menemukan sebotol cecair berwarna hijau disyaki air ketum di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri.

Beliau berkata lelaki berusia 24 tahun didapati memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Mahkamah Majistret Shah Alam telah membenarkan kedua-duanya direman tiga hari bermula hari ini. Sehubungan dengan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S Nawinthan melalui talian 016-2052 314 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular melalui media sosial rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan beberapa MPV mengejar sebuah kereta di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan