KANGAR, 5 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan Chuping Valley Industrial Area (JPPPCVIA) meluluskan dua cadangan projek pelaburan untuk masuk ke kawasan itu, dekat Padang Besar dengan jumlah bernilai RM1.56 bilion.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli bagaimanapun berkata kerajaan negeri buat masa ini belum dapat mengumumkan nama syarikat berkenaan memandangkan proses pelaburan itu masih pada peringkat awal, khususnya melibatkan penyaluran dana dan penjagaan kerahsiaan antara pelabur serta klien.
“Justeru, kerajaan negeri perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan sebarang pihak berkepentingan dalam usaha pelaburan ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) yang ingin tahu status terkini pembangunan di CVIA termasuk jumlah pelabur yang menyatakan komitmen serta jangkaan operasi industri bermula sepenuhnya.
Mohd Shukri berkata pada masa ini infrastruktur dalaman bagi Fasa 1 CVIA berkeluasan 440 ekar telah siap dibangunkan sepenuhnya dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.
“Bagi memastikan perancangan dan pembangunan di CVIA berada pada tahap terbaik, kesemua perancangan dan kelulusan projek dipantau oleh JPPPCVIA yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan), Menteri Besar Perlis itu berkata pembangunan Projek Sanglang Integrated Jetty (SIJ) dijangkakan bermula selepas Pelabuhan Darat Perlis (PIP) memulakan operasi Fasa 1 secara keseluruhan pada suku pertama 2026.
“Sekiranya mengikut perancangan, projek SIJ dijangka memberi manfaat besar kepada Perlis terutamanya dalam bidang logistik, pelancongan, akuakultur dan perikanan… projek ini akan meningkatkan keupayaan logistik Perlis dengan menyediakan kemudahan jeti yang lebih baik untuk kapal dagang dan kargo,” katanya.
Mohd Shukri berkata projek itu juga akan menyokong pengangkutan kargo petroleum dan kargo pukal yang dijangka membuka 3,000 peluang pekerjaan apabila projek siap dilaksanakan.
Mengenai projek PIP, beliau berkata ia sedang giat dibangunkan dan Fasa 1 projek itu dijangka mula beroperasi pada 22 Sept.
“Projek itu akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Perlis dan Wilayah Utara dengan menyediakan pusat logistik yang efisien terutamanya dalam pengangkutan kargo bagi merancakkan perdagangan antara Malaysia dan Thailand.
“Dengan siapnya PIP kelak, ia akan menjadi nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu CVIA, Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley,” katanya.
-- BERNAMA