AM

MY IDOLS CHARACTER, KEMPEN INTERNET SELAMAT BINA KARAKTER MURID HADAPI CABARAN DIGITAL

05/08/2025 08:16 PM

ARAU, 5 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menyifatkan penganjuran Program ‘My Idols Character’ dan Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 sebagai langkah proaktif dalam membina karakter serta kepimpinan murid sekolah rendah bagi menghadapi cabaran dunia digital.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPN Perlis Mohd Nazri Baharin berkata program itu dilihat dapat memperkukuh aspek sahsiah, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan murid tahap dua yang kini semakin terdedah dengan pengaruh dunia tanpa sempadan.

“Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara JPN Perlis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta beberapa agensi lain,” katanya kepada pemberita selepas menutup program itu di UniMAP sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan MCMC Wilayah Utara Izani Othman serta wakil rakan strategik daripada UniMAP yang turut menyumbang kepakaran dalam menjayakan pengisian program berkenaan.

Mohd Nazri berkata pendekatan yang digunakan melalui prorgam itu menggabungkan pembentukan karakter dan literasi digital supaya murid seimbang dari segi akhlak dan pengetahuan teknologi.

Beliau berkata menerusi penganjuran program seperti itu, guru juga memainkan peranan penting dalam mendidik murid agar bijak mengurus penggunaan Internet serta menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap diri dan komuniti.

Tambah beliau MCMC berjaya melengkapkan KIS di semua 74 sekolah rendah di Perlis menerusi program berkenaan, membabitkan penyertaan 222 guru dan lebih 500 murid tahap dua yang dipilih secara rawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan