AM

MAIPK PERUNTUK RM5.5 JUTA LAKSANA PROGRAM USAHAWAN BANTU ASNAF

05/08/2025 07:43 PM

IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM5.5 juta tahun ini bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) dan Program Usahawan Payung Asnaf (UPAYA).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata Proper A pada tahun ini menampilkan pendekatan lebih dinamik dengan empat bidang utama pembangunan usahawan iaitu membaik pulih telefon pintar secara bergerak, gunting rambut bergerak, francais minuman kopi dan francais Roti Kaya Junus. 

Beliau berkata pihaknya memperuntukkan bantuan RM8,000 hingga RM14,000 kepada setiap peserta Proper A bergantung kepada bentuk perniagaan yang diusahakan selain pelbagai kursus keusahawanan disediakan kepada peserta.

“Melalui konsep perniagaan bergerak, setiap peserta menerima motosikal lengkap dengan kit perniagaan manakala bagi francais pula setiap peserta menerima sokongan penuh daripada jenama dikenali yang akan memudahkan proses pemasaran dan operasi.

“Pemantauan antara tiga hingga enam bulan dilakukan kepada semua peserta yang menyertai Proper A bagi memastikan mereka menggunakan sebaik mungkin manfaat yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kelengkapan perniagaan kepada usahawan Proper A dan pelancaran UPAYA di sini hari ini.

Syamsul Hazeman berkata setakat ini pihaknya telah membantu 60 peserta asnaf untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang makanan menerusi UPAYA.

“Peserta akan menerima bantuan merangkumi peralatan, latihan, pemantauan serta bimbingan berterusan. 

“Ia adalah inisiatif MAIPk dalam membantu golongan peniaga kecil yang sedang berusaha untuk bangkit daripada belenggu kewangan, seterusnya dapat menjana pendapatan lebih tinggi bagi keperluan keluarga,” katanya.

Syamsul Hazeman berkata MAIPK berharap pelbagai bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kesemua peserta program, sekali gus menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan