EKONOMI

SEBANYAK 1,533 PROJEK PERABOT LULUS BERNILAI RM11.62 BILION SEHINGGA MAC 2025 — LIEW

05/08/2025 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Sebanyak 1,533 projek perabot diluluskan dengan nilai pelaburan RM11.62 bilion sehingga Mac 2025 melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. 

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 62 peratus merupakan pelaburan domestik manakala 38 peratus lagi merupakan pelaburan asing. 

“Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) masih menawarkan Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) kepada syarikat Malaysia berkelayakan yang menyertai mana-mana aktiviti promosi perdagangan antarabangsa. 

“Bagi aktiviti promosi perdagangan antarabangsa di luar negara, MATRADE menawarkan RM25,000 manakala bagi aktiviti promosi perdagangan antarabangsa dalam negara, sebanyak RM5,000 ditawarkan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai pelan pembangunan jangka panjang yang dirangka untuk industri perabot dengan dasar yang realistik dan fleksibel.

Liew berkata setakat ini, jumlah syarikat perabot yang mendapat manfaat daripada MDG adalah sebanyak 314 syarikat dengan bilangan geran MDG yang diluluskan berjumlah 4,148 permohonan (merupakan permohonan tertinggi antara semua industri). 

“Sejumlah RM12.25 juta geran MDG disalurkan kepada syarikat industri perabot manakala nilai eksport dijana syarikat bagi industri perabot yang menerima manfaat MDG berjumlah RM1.46 bilion jualan eksport bagi tempoh Januari 2021 hingga 30 Julai 2025,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memahami kebimbangan industri iaitu syarikat asing menggugat ekosistem pasaran perabot tempatan.

“Walaupun tiada halangan melabur dalam sektor perabot di Malaysia, kerajaan melalui MIDA bercadang untuk tidak lagi menggalakkan pelaburan asing, terutamanya yang berintensif buruh ke dalam sektor perabot negara.

“Semua pejabat MIDA di luar negara akan dimaklumkan iaitu sektor perabot tidak lagi memerlukan pelaburan asing kerana industri Malaysia sudah mencapai tahap terkemuka di persada dunia,” katanya.

— BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan