AM

PROJEK NAIK TARAF JAMBATAN SUNGAI PONTIAN BESAR DIJANGKA BERMULA OKTOBER - AHMAD MASLAN

05/08/2025 01:24 PM

PONTIAN, 5 Ogos (Bernama) -- Projek menaik taraf Jambatan Sungai Pontian Besar daripada dua lorong kepada empat lorong dijangka bermula seawal Oktober ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata projek melibatkan kos RM49 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun meliputi kerja-kerja pembesaran lorong jambatan sepanjang 250 meter termasuk jalan menghala ke jambatan berkenaan.

“Kerajaan bersetuju untuk memperbesar Jambatan Sungai Pontian Besar daripada dua lorong ini menjadi empat lorong dan pembinaannya akan dimulakan hujung tahun ini.

“Segala urusan tender dan sebagainya akan diuruskan pada September atau Oktober. Kita akan menjemput Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk pecah tanah bagi projek ini yang dijangka pada Oktober,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di jambatan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu penting bagi mengelak kesesakan yang berlaku akibat ketidakseimbangan lorong antara dua jambatan utama di daerah itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata jambatan baharu itu juga akan menampilkan elemen mercu tanda atau struktur ikonik berbentuk kapal layar dan hiasan berkonsepkan nanas pada bahagian sisi jambatan, sekali gus dijangka menjadi tarikan unik terbaharu di daerah itu.

Penambahan elemen ikonik itu, katanya diharap dapat menyokong usaha kerajaan menjadikan Pontian sebagai antara pusat pelancongan utama di Johor khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Kementerian Kerja Raya juga dalam proses mengemukakan permohonan untuk membesarkan satu lagi jambatan utama iaitu Jambatan Parit Semerah, dengan anggaran kos RM25 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Projek Pembesaran Hospital Pontian dijadualkan bermula tahun ini dan disasarkan siap dalam tempoh enam bulan, lebih awal daripada jadual asal iaitu setahun.

Terdahulu, Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim mengadakan lawatan kerja di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian sebelum meneruskan beberapa siri lawatan ke lokasi projek antaranya Jambatan Sungai Pontian Besar dan Hospital Pontian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan