CYBERJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam usaha meneroka potensi tenaga nuklear di Malaysia, kata Menterinya Chang Lih Kang.
Beliau berkata tenaga nuklear antara bidang strategik yang telah lama diberi tumpuan dan kementerian itu berperanan dalam aspek pembangunan teknologi, bakat serta kerangka kawal selia di bawah bidang itu.
“Penerokaan (bidang nuklear) itu bukan sesuatu yang baharu. Sudah tentu kami (MOSTI dan PETRA) telah berbincang tentangnya, tetapi kali ini dengan sokongan jelas kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita mengorak langkah secara menyeluruh dan terancang.
“Inilah yang kita maksudkan dengan pendekatan keseluruhan negara, iaitu semua pihak berkepentingan dihubungkan bersama. Terdapat enam pasukan petugas ditubuhkan — tiga diketuai MOSTI dan tiga lagi oleh Petra,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Diploma Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 pada 31 Julai berkata kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.
Kerajaan dilaporkan sedang melaksanakan penilaian terancang bagi meneliti peranan tenaga nuklear sebagai satu daripada pilihan sumber elektrik bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara pada masa hadapan.
Inisiatif berkenaan mengambil kira keperluan untuk mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon, serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, selaras dengan komitmen perubahan iklim negara dan peningkatan permintaan tenaga.
Selain tenaga nuklear, Chang berkata MOSTI turut memainkan peranan yang sama dalam pembangunan industri strategik lain seperti unsur nadir bumi (REE) dengan fokus yang sama iaitu pembangunan teknologi, bakat dan kerangka regulatori.
MOSTI juga, katanya sedang bersiap sedia untuk melaksanakan pelbagai inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang digariskan dalam RMK13 sebagai sebahagian daripada usaha melonjakkan negara ke arah status ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
“Sebagai kementerian pelaksana, kami akan berusaha sepenuhnya membantu negara membangun dan maju dalam pelaksanaan STI ini,” katanya.
-- BERNAMA