AM

INSO 2025: MALAYSIA KOMITED TERHADAP TEKNOLOGI NUKLEAR SELAMAT, MAMPAN

06/08/2025 03:51 PM

SUBANG JAYA, 6 Ogos  (Bernama) -- Malaysia terus membuktikan komitmennya terhadap penggunaan teknologi nuklear secara selamat, bertanggungjawab dan mampan menerusi kejayaan menganjurkan Olimpiad Sains Nuklear Antarabangsa (INSO) 2025, yang melabuhkan tirai di sini semalam

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pertandingan bertaraf antarabangsa selama seminggu itu bukan sekadar meraikan kecemerlangan dalam bidang saintifik tetapi juga mencerminkan kesungguhan Malaysia memperkukuh pendidikan sains nuklear, kecemerlangan sains dan kerjasama rentas budaya pada peringkat tertinggi.

“INSO bukan sekadar pertandingan intelek tetapi platform untuk meraikan penemuan, setiakawan dan perkongsian impian dalam memajukan sains nuklear,” katanya berucap pada majlis penutup INSO 2025.

INSO tahun ini dianjurkan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menghimpunkan bakat muda cemerlang dari 14 negara, bagi meneruskan legasi edisi sulung Olimpiad yang diadakan di Filipina pada 2024.

Mustapha berkata sains nuklear sejak sekian lama telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara daripada bidang diagnosis perubatan dan rawatan kanser hingga kepada pengawetan makanan dan aplikasi dalam industri. 

“Di peringkat antarabangsa, sains nuklear terus memainkan peranan penting dalam menangani cabaran terbesar dunia seperti perubahan cuaca, keselamatan tenaga dan kesihatan awam. 

“Oleh itu, semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang Olimpiad ini mencerminkan apa yang amat diperlukan oleh dunia pada masa kini iaitu saintis dan pemimpin yang bukan sahaja bekerja demi suatu penemuan tetapi juga untuk kesejahteraan manusia,” katanya.

Mustapha juga merakamkan penghargaan kepada rakan agensi termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom (ATOM) atas sokongan mereka menjayakan INSO 2025 sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam memajukan aplikasi sains nuklear yang selamat.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis itu Mustapha berkata persediaan negara untuk beralih daripada sumber tenaga konvensional kepada tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear merupakan sebahagian daripada perancangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata Malaysia merancang ke arah pembangunan loji jana kuasa nuklear dalam tempoh 10 tahun akan datang sebagai sebahagian komitmen negara untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Inilah sebabnya kita giat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, khususnya mereka yang berbakat dan berprestasi tinggi bagi menggalakkan lebih ramai menceburi bidang sains nuklear dan menjadi saintis yang akan merealisasikan masa depan tenaga bersih negara,” katanya.

Mengenai minat yang semakin meningkat dalam kalangan belia terhadap sains nuklear, Mustapha berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyokong usaha berkaitan, termasuk melalui UKM yang menawarkan program berkaitan nuklear sejak tahun 1980-an.

“UKM telah berada di barisan hadapan dalam pendidikan sains nuklear selama beberapa dekad, sebab itulah ia dipilih untuk menjadi penganjur bersama Olimpiad tahun ini,” katanya.

Majlis penutup itu turut menampilkan sesi kedua penyampaian anugerah, melibatkan  pemenang pingat emas, perak dan gangsa yang diraikan kerana pencapaian cemerlang mereka.

Selain itu, Anugerah Khas turut disampaikan kepada peserta yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam empat kategori – Duta Nuklear, Skor Tertinggi dalam Peperiksaan Teori, Skor Tertinggi dalam Peperiksaan Eksperimen, dan Peserta Wanita Cemerlang.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan trofi INSO kepada Pengerusi INSO Dr Maya Al-Azri, sebagai simbol peralihan tanggungjawab kepada jawatankuasa penganjur seterusnya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan