KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon supaya tujuh pertuduhan yang dihadapinya, melibatkan kesalahan salah guna kuasa dan penerimaan wang hasil aktiviti haram, digugurkan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy semasa prosiding sebutan kes hari ini.
Menurutnya, representasi tersebut difailkan pada penghujung Julai lalu dan kini sedang dipertimbangkan oleh pihak AGC. Ia merupakan representasi pertama yang dikemukakan dalam kes berkenaan.
Mahkamah menetapkan 7 Okt sebagai tarikh sebutan seterusnya. Muhyiddin hadir ke mahkamah hari ini bersama barisan peguamnya Datuk Amer Hamzah Arshad dan Rosli Dahlan.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan permintaan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi pihak parti tersebut iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, berkaitan pelaksanaan projek Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di AmBank, cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Jan, CIMB Bank, cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb hingga 16 Julai 2021, serta 8 Feb hingga 8 Julai 2022.
-- BERNAMA