EKONOMI

KOMITMEN PEMBELIAN DAN PELABURAN TIDAK LIBAT DANA AWAM, TIDAK TAMBAH BEBAN FISKAL - TENGKU ZAFRUL

07/08/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Semua komitmen pembelian dan pelaburan yang ditawarkan oleh Malaysia dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) adalah urusan komersial oleh syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa melibatkan sebarang dana awam mahupun menambah beban fiskal atau hutang negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau yang sekali lagi menegaskan perkara itu memberitahu pendekatan tersebut membolehkan kerajaan memastikan kebajikan rakyat dan kedaulatan fiskal negara tidak terjejas sama sekali.

“Walaupun jumlah keseluruhan kelihatan besar, hakikatnya komitmen ini dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Ia juga bersifat transaksi komersial serta pelaburan oleh syarikat dan GLC negara, bukan satu aliran keluar sekali gus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang ingin mengetahui langkah-langkah yang telah diambil kerajaan untuk mencapai hasil rundingan tarif, iaitu sebanyak 19 peratus yang kini diketahui umum dan konsesi yang ditawarkan oleh Malaysia kepada AS.

Katanya rundingan yang diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan sokongan padu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kementerian dan agensi berkaitan, badan pemikir serta sektor swasta, telah berjaya menurunkan kadar tarif balas kepada 19 peratus daripada 25 peratus, berkuat kuasa 7 Ogos 2025.

“Kejayaan ini telah meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara ASEAN utama dan sekali lagi membuktikan keupayaan negara untuk berdiplomasi secara berkesan di peringkat global,” katanya.

Katanya pendekatan kerajaan dalam rundingan itu berteraskan kepentingan strategik dan maruah negara, tanpa menjejaskan dasar-dasar utama termasuk syarat ekuiti bumiputera dalam sektor strategik, piawaian halal mengikut ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kawalan ke atas vendor tempatan serta pengekalan kawalan dalam sektor automotif dan mineral kritikal.

Tengku Zafrul berkata tujuan utama rundingan adalah untuk mengimbangi defisit perdagangan antara Malaysia dan AS, justeru, yang diambil kira ialah perolehan secara senegara.

“Komitmen melibatkan pembelian dan pelaburan oleh syarikat swasta dan GLC utama negara berjumlah US$150 bilion dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bagi tempoh lima tahun manakala US$19 bilion untuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) secara berperingkat sehingga 2035.

“Secara amnya, perolehan ini dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima hingga 10 tahun dan jika dibahagikan dengan 10 tahun, secara purata, jumlah komitmen tahunan ialah sekitar lapan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia atau 13.5 peratus daripada perbelanjaan swasta negara bagi tahun 2024,” katanya.

Tengku Zafrul berkata dari sudut ekonomi, jumlah ini adalah setara dengan perbelanjaan operasi syarikat korporat dan GLC utama negara setiap tahun sama ada untuk pembelian bahan mentah, pelaburan teknologi atau pembaharuan aset.

Beliau berkata Malaysia turut menawarkan konsesi tarif dengan menghapuskan atau mengurangkan tarif ke atas 98.4 peratus baris tarif produk AS yang dieksport ke Malaysia termasuk produk industri dan pertanian.

“Daripada jumlah itu, 60.4 peratus akan dikenakan kadar duti sifar manakala selebihnya melibatkan pengurangan kadar duti sehingga maksimum 15 peratus.

“Kadar duti sifar yang dilaksanakan pada 60.4 peratus tarif ini juga jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang dikenakan tarif timbal balas pada kadar yang hampir sama,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut memudahkan pelaksanaan beberapa langkah bukan tarif (NTB) termasuk pensijilan halal mengikut ketetapan JAKIM, fasilitasi eksport daging dan produk tenusu AS serta penambahbaikan aspek pemantauan dan pematuhan piawaian buruh, alam sekitar dan hak harta intelek.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan