PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu, akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula Oktober ini, melibatkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang sebagai projek rintis.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sistem ANPR merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tempoh dua tahun akan datang, bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.
“Sistem ini membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong sedia ada tanpa perlu berhenti, sekali gus menjanjikan perjalanan lebih lancar dan fleksibel.
“Hari ini saya sendiri telah mencuba sistem ini di plaza tol dan ia terbukti jauh lebih pantas. Tiada caj dikenakan untuk pendaftaran dan pengguna bebas memilih mana-mana lorong tol,” katanya kepada media selepas demonstrasi pelaksanaan sistem ANPR tanpa palang di Persada PLUS, di sini hari ini.
Nanta berkata pembangunan sistem itu, hasil kerja pakar tempatan dalam industri lebuh raya dan dilaksanakan sepenuhnya oleh industri tanpa sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Beliau berkata sebagai permulaan, sistem itu akan diuji di 13 plaza tol membabitkan 35 lorong sebelum diperluas secara berperingkat ke keseluruhan jajaran PLUS.
Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.
Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.
“Selepas nombor pendaftaran dibaca, kadar tol akan ditolak secara automatik dalam akaun yang telah didaftarkan. Jika tiada baki, bayaran akan dituntut kemudian kepada pemilik,” katanya.
Bayaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi baharu JustGo, yang menyokong pelbagai kaedah seperti e-dompet, kad bank dan Touch ‘n Go.
Nanta berkata tiada kos atau caj dikenakan kepada rakyat untuk mendaftar dan menggunakan sistem tersebut.
-- BERNAMA