AM

BELANJAWAN 2026: KPM TUMPU ASPEK PEMERKASAAN INSTITUSI PENDIDIKAN KHAS

07/08/2025 07:06 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Ogos (Bernama) -- Pemerkasaan institusi pendidikan untuk murid berkeperluan khas antara perkara yang akan diberikan tumpuan khusus oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada 10 Okt ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM sedang mengadakan sesi libat urus berkaitan Belanjawan 2026 dan antara perkara yang diletakkan paling atas dalam keutamaan ialah peruntukan khusus bagi pendidikan khas.

“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk memberikan saranan, cadangan dan idea agar kita dapat memantapkan lagi usaha memastikan anak-anak ini mendapat tempat sepatutnya dalam sistem pendidikan khususnya dalam aspek kemahiran tinggi yang bersesuaian dengan keperluan semasa mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik kepada 12 sekolah terpilih di Sekolah Sinar Harapan di sini hari ini.

Fadhlina berkata pada majlis tersebut sebanyak 12 institusi pendidikan autisme dari Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kelantan dan Johor menerima peruntukan serta sumbangan lain dan inisiatif itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menyokong keperluan sistem pendidikan untuk anak-anak berkeperluan khas.

Beliau berkata kerajaan menerusi Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu sekolah pendidikan autisme swasta dan usaha itu merupakan lanjutan terhadap komitmen berterusan dalam memastikan golongan berkenaan tidak dipinggirkan daripada mendapat akses pendidikan sama rata dengan pelajar lain.

Selain itu, Fadhlina berkata saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua projek perumahan berskala besar dilengkapi kemudahan sekolah dan pusat kesihatan bertepatan dengan usaha KPM dalam menangani isu kepadatan murid di dalam kelas dan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan pembangunan baharu.

“Kita menyokong penuh arahan tersebut kerana ia selari dengan keperluan sedia ada yang sering dibangkitkan kementerian," katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata semua projek perumahan berskala besar di negara ini perlu dibangunkan berteraskan konsep MADANI yang antara lain merangkumi penyediaan infrastruktur pendidikan.

Perdana Menteri berkata projek melibatkan pembinaan 3,500 unit kediaman atau lebih perlu disertakan dengan kemudahan pendidikan, ruang niaga untuk penjaja kecil, akses pengangkutan awam dan premis kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan