AM

KRU WARGA INDONESIA MAUT, EMPAT CEDERA DALAM KEBAKARAN KAPAL TANGKI DI KOTA TINGGI

07/08/2025 07:53 PM

JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang kru kapal warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera dalam kejadian kebakaran yang membabitkan sebuah kapal tangki asing di kedudukan 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, dekat perairan Johor Timur, Kota Tinggi, semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) diaktifkan sejurus Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada seorang pemancing berhubung insiden itu pada pukul 9.30 malam, yang mendakwa melihat kebakaran tersebut pada pukul 6 petang.

Beliau berkata aset KM SATRIA telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan dibantu oleh bot Perkasa 30 dari Zon Maritim Tanjung Sedili serta Penggalang 43 dari Zon Maritim Mersing.

“Hasil siasatan awal serta perkongsian maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima mangsa berkenaan telah dibantu dan dibawa ke darat oleh bot yang berada berhampiran.

“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun telah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Empat lagi mangsa lelaki — terdiri daripada seorang warga tempatan dan selebihnya warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 49 tahun — dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azri berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan kru kapal tangki yang menggunakan tanda nama MT108 itu

Beliau menjelaskan bahawa Op Carilamat dilaksanakan meliputi kawasan seluas 8.0 batu nautika persegi, melibatkan sebuah kapal dan dua bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan