GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki dan anak perempuannya melecur pada badan serta kaki dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari sebelum jentera pertama bergerak ke lokasi kebakaran.
"Kebakaran melibatkan dua rumah yang terletak bersebelahan dan rumah pertama terbakar lebih 90 peratus manakala rumah kedua pula hanya 10 peratus sahaja, komander operasi melaporkan dua mangsa mengalami cedera melecur ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran yang mengambil masa kira-kira 10 minit untuk dikawal daripada merebak ke kediaman lain di kawasan tersebut.
"Operasi tamat sepenuhnya pada 2.33 petang dan mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA