AM

GENCATAN SENJATA THAILAND–KEMBOJA PENCAPAIAN LUAR BIASA ASEAN - PM ANWAR

08/08/2025 03:35 PM

CYBERJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Persetujuan perjanjian gencatan senjata yang pantas dan berkesan antara Thailand dengan Kemboja ialah pencapaian luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi ASEAN, sekali gus membuktikan kekuatan, komitmen dan keazaman para pemimpinnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kejayaan itu dicapai hasil kerjasama pelbagai peringkat melibatkan Perdana Menteri dan Menteri Luar kedua-dua negara, angkatan tentera mereka dan kepercayaan yang dibina dalam kalangan pemimpin ASEAN.

"Saya perlu berterima kasih kepada pemimpin Kemboja dan Thailand, anggota Kabinet, dan Panglima Angkatan Tentera di sini yang memainkan peranan penting. Hubungan dan kepercayaan antara tentera dengan pemimpin ASEAN mengagumkan," kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini hari ini, yang diadakan bersempena dengan ulang tahun penubuhan ASEAN, bertemakan "Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan".

Anwar berkata tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi membolehkan semua pihak mencapai persefahaman dengan segera, sambil menambah dalam sejarah gencatan senjata di seluruh dunia sejak beberapa dekad, malah mungkin sejak berabad-abad, perjanjian kali ini mungkin yang pertama dicapai dengan pantas dan berkesan.

Anwar berkata Amerika Syarikat dan China komited menyokong aspek logistik di kawasan gencatan senjata, namun menyerahkan sepenuhnya kepada persefahaman dua hala antara Thailand dengan Kemboja, yang dikendalikan oleh Malaysia.

"Semua pemimpin ASEAN berikrar untuk menyediakan sebarang sokongan yang diperlukan untuk memastikan keamanan berterusan antara dua negara," kata beliau.

Perdana Menteri berkata pencapaian itu dapat direalisasikan kerana Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, telah diberikan mandat dan sokongan padu daripada semua pemimpin ASEAN, sekali gus memberikan kekuatan tambahan terhadap usaha pendamaian itu.

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lepas susulan mesyuarat khas di Malaysia yang dipengerusikan Anwar, membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan berikutan ketegangan yang memuncak.

"Jika langkah ini ialah permulaan yang baik, ia memberikan petanda positif untuk masa depan ASEAN dari segi mencapai strategi geopolitik," kata Anwar dan menambah isu Myanmar akan menjadi cabaran besar seterusnya bagi blok serantau itu.

Menurut beliau, kemajuan telah dicapai ke arah tindakan gencatan senjata di Myanmar, dengan Menteri Luar Malaysia, Thailand dan Indonesia dijangka melawat negara berkenaan dalam masa terdekat untuk mendesak supaya keganasan ditamatkan, permusuhan dihentikan dan dialog antara pihak berkepentingan disambung semula.

Menyentuh agenda ekonomi, Anwar berkata satu daripada isu utama yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini ialah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, pelaburan rentas sempadan, ketersambungan grid tenaga serantau dan inisiatif ekonomi kerjasama yang lain.

Sementara itu, Anwar menyifatkan sambutan ulang tahun ke-58 ASEAN sebagai satu kebanggaan dan penghargaan bersama, bukan sahaja untuk meraikan pencapaian sejak penubuhannya, tetapi juga sebagai detik untuk mensyukuri kemajuan yang telah dicapai.

Menurut beliau, kejayaan ASEAN hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan pemikiran, wawasan dan perjuangan tokoh-tokoh pendiri negara-negara anggota. Namun, beliau mengingatkan bahawa cabaran terhadap rantau ini masih berterusan dan ASEAN hanya akan kekal relevan jika berani menghadapinya dengan komitmen teguh.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand, dengan penandatanganan Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan