SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,260 unit rumah mampu milik Idaman Bukit Jelutong di sini diserahkan kepada pemilik, hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata rumah Idaman Bukit Jelutong yang dibangunkan Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) adalah antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kediaman mampu milik berkualiti, selesa dan dilengkapi kemudahan asas.
Beliau berkata rumah mampu milik bertaraf kondominium itu menjadi antara kediaman dengan spesifikasi tinggi pernah dilaksanakan, menjadikan Selangor sebagai satu-satunya kerajaan negeri yang menawarkan rumah mampu milik di bawah harga ambang nasional RM250,000 seunit.
"Spesifikasi yang kita tetapkan agak tinggi iaitu rumah perlu ada kabinet dapur, almari pakaian, peti sejuk, pemanas air, penyaman udara, televisyen dan dua parkir kenderaan bagi setiap unit.
"Walaupun spesifikasi agak tinggi berbanding perumahan rakyat sebelum ini, tetapi untuk kesejahteraan rakyat kita buktikan ia boleh laksanakan dengan harga jualan masih di bawah ambang harga nasional iaitu RM250,000 seunit," katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Bukit Jelutong di sini.
Turut hadir, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Datuk Borhan Aman Shah, Ketua pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Pengerusi Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad Dr Muhamad Fuad Abdullah.
Amirudin berkata penyerahan kunci kepada pemilik rumah Idaman Bukit Jelutong merupakan satu lagi langkah tuntas kerajaan negeri dalam menangani isu kemampuan memiliki rumah.
Beliau berkata penyerahan rumah tersebut serta pembangunan beberapa lagi projek kediaman yang dirancang adalah untuk merealisasikan impian memiliki rumah bagi semua rakyat Selangor terutamanya golongan belia dan mereka yang berkeluarga.
Amirudin berkata penyerahan 1,260 unit rumah itu menjadikan 6,079 rumah daripada projek sama di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah diserahkan kepada pembeli daripada 39,733 unit Rumah Idaman yang diluluskan pembinaan oleh kerajaan negeri di seluruh Selangor.
Sebanyak 8,352 unit lagi sedang dalam pembinaan melibatkan sembilan projek di daerah Petaling, Sabak Bernam, Gombak dan Sepang yang dijangka lengkap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun, katanya.
Rumah Idaman Bukit Jelutong merupakan projek Rumah Idaman pertama dibangunkan Gagasan Nadi Cergas Berhad yang juga pemaju untuk Idaman Kwasa Damansara dan Idaman Amani di Bandar Elmina.
Berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi, kediaman itu turut dilengkapi kemudahan kolam renang, gimnasium, dewan serba guna, taman atas bumbung, tadika, ruang bacaan, trek joging, gelanggang badminton serta sistem keselamatan tiga peringkat.
-- BERNAMA