JENAYAH & MAHKAMAH

OP KHAS KAD ATM: 71 INDIVIDU DISYAKI KELDAI AKAUN DITAHAN DALAM SERBUAN SELURUH NEGARA

08/08/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Polis menahan 71 individu termasuk lapan warga asing kerana disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah komersial sebagai keldai akaun dalam 59 serbuan di seluruh negara menerusi Op Khas Kad ATM baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia bagi menumpaskan kegiatan pengeluaran wang oleh sindiket penipuan berdasarkan kes dilaporkan di Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata daripada 59 serbuan yang dijalankan antara 29 hingga 31 Julai lepas itu, 24 serbuan dibuat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (11), Sabah (8), Perak (5), Pahang (4), Selangor (3), manakala Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing dua serbuan.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun terdiri daripada 55 lelaki dan lapan wanita tempatan, selain lapan lelaki warga asing iaitu empat warga Bangladesh, masing-masing seorang warga China, Nigeria, Myanmar dan Indonesia,” katanya pada sidang media JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.

Rusdi berkata turut dirampas ialah 925 kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM392,266, 100 telefon bimbit, 32 kad sim, 16 beg, 55 dokumen, 10 fail, dua buku cek kosong, satu resit cek bernilai RM90,961.24, lima kereta, satu mesin kira, sebuah kotak, sebuah komputer riba, sebuah tablet serta sebuah mesin pencetak.

“Sebanyak 42 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420, 424, 424A dan 511 Kanun Keseksaan; Seksyen 5(2), 15A(1)(b) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, pinjaman tidak wujud, Ah Long dan pengurup atau pengirim wang tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, 16 individu telah dituduh di mahkamah iaitu enam di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan 10 di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan, manakala baki 55 dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan